About Me

My photo
Malaysia
Dilahirkan pada tahun 1973 di Bagan Datok, Perak.Mendapat pengajian di UIA dalam bidang undang-undang. Bertugas sebagai peguam di Kuala Lumpur dan Ipoh. Menjadi aktivis Parti Keadilan Rakyat sejak penubuhannya, dan kini diamanahkan sebagai Naib Pengerusi KEADILAN Negeri Perak dan Ketua Cabang Bagan Datok.

Wednesday, January 21, 2009

Kenyataan Media Tentang Arahan Zahid Hamidi Kepada Agensi Kerajaan Pusat Di Perak

Dua minggu yang lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan berunsur fitnah apabila beliau mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Perak mengunci dewan-dewan yang digunakan untuk 700 Tadika KEMAS di negeri itu. Setelah mendapat amaran untuk disaman oleh Kerajaan Negeri atas dakwaan palsu tersebut, beliau sekali lagi menyerlahkan niat jahatnya apabila akhbar-akhbar hari ini melaporkan kenyataannya yang antara lain adalah seperti berikut:

- Tandatangan dan cop rasmi Pengerusi JKKK (Ketua Kampung) dan Penghulu di Negeri Perak tidak akan diiktiraf oleh agensi Kerajaan Pusat;
- Hanya tandatangan dan cop rasmi JPPP sahaja yang akan diiktiraf oleh semua agensi Kerajaan Pusat;
- Ketua jabatan agensi Kerajaan Pusat dilarang menghadiri mesyuarat rasmi anjuran Kerajaan Negeri, kecuali bagi beberapa jabatan tertentu sahaja;
- Antara mesyuarat yang dilarang untuk dihadiri tersebut ialah Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Daerah dan mesyuarat yang dipanggil oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Arahan yang sangat tidak rasional ini sekali lagi menggambarkan sikap pemimpin-pemimpin BN yang membelakangkan keluhuran Perlembagaan dan tatacara yang telah sedia diiktiraf untuk sekian lama. Institusi Ketua Kampung dan Penghulu adalah salah satu daripada institusi yang paling lama dalam sejarah Kesultanan Melayu termasuk di Negeri Perak. Perlantikan Ketua Kampung dan Penghulu dibuat dengan perkenan Sultan sebagai simbol kedaulatan raja dan penurunan kuasa raja di setiap daerah, mukim dan kampung. Di bawah payung istana, institusi Ketua Kampung dan Penghulu telah memainkan peranan yang penting dalam melicinkan pentadbiran dan memupuk perpaduan. Justeru tindakan Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak yang tidak mengiktiraf autoriti yang terdapat pada institusi Ketua Kampung dan Penghulu boleh disifatkan sebagai satu penghinaan dan penderhakaan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Di sebalik retorik untuk menjaga Ketuanan Melayu, UMNO sendirilah yang langsung tidak menunjukkan penghormatan kepada cabang-cabang di dalam institusi Kesultanan Melayu.

Larangan kerjasama antara agensi pusat dan negeri adalah amat bertentangan dengan prinsip dan semangat federalisme seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Federalisme diasaskan kepada kewujudan dua peringkat kerajaan iaitu Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang mempunyai bidangkuasa dan hak masing-masing serta saling bekerjasama untuk kepentingan rakyat. Dalam amalan demokrasi yang sihat, pertukaran kerajaan yang dipilih oleh rakyat, sama ada di peringkat pusat atau negeri, adalah perkara biasa yang tidak akan menjejaskan semangat federalisme. Tetapi di negeri Perak, pemimpin-pemimpin kerajaan pusat tidak henti-henti berusaha untuk menafikan, menceroboh dan mengganggu bidangkuasa dan hak kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, agensi-agensi Kerajaan Pusat mestilah bekerjasama dengan agensi dan institusi Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat dan keutuhan jentera pentadbiran negara. Sejak mengambil alih kuasa, Kerajaan Negeri Perak bersikap amat terbuka dengan menjemput semua ADUN dan Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) yang diadakan setiap bulan. Walau bagaimanapun, Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Ahli Parlimen Bagan Datok tidak pernah menghadiri mesyuarat JKTD tersebut walaupun sekali. Sikap seperti ini menunjukkan betapa jahilnya pemimpin-pemimpin UMNO dalam memahami tanggungjawab asas kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat melalui kerjasama antara pusat dan negeri.

Adalah amat mengejutkan sekali, ketika seluruh dunia berdepan dengan masalah kemelesetan ekonomi, Kerajaan Pusat dengan sengaja memburukkan lagi prospek ekonomi rakyat Perak dengan tidak bekerjasama dalam Majlis Tindakan Ekonomi peringkat negeri dan daerah. Adakah pemimpin UMNO memang suka melihat ramai rakyat Perak hilang pekerjaan, menjadi miskin dan gulung tikar di dalam zaman kegawatan ekonomi ini? Masalah ekonomi semasa adalah satu keadaan yang amat genting yang mana pemimpin-pemimpin politik sepatutnya mengenepikan perbezaan politik demi menjaga periuk nasi rakyat.

Akhir sekali, kenyataan dari Menteri Agama Islam ini adalah amat mengecewakan kerana ia adalah umpama racun yang menyemarakkan perpecahan di kalangan umat Islam di kampung-kampung. Pemimpin yang sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO dulu pernah melaungkan slogan wahdatul fikr (kesatuan fikiran) dan wahdatul amal (kesatuan tindakan), kini rupa-rupanya adalah pencinta perpecahan. Di manakah sikap lapang dada (tasamuh) seorang pemimpin dalam melayani perbezaan dan kepelbagaian di dalam kehidupan umat? Janganlah kerana hendak mencari populariti ketika musim pemilihan parti, maka perpaduan dan kerukunan hidup di kalangan umat dikorbankan.


Madzi Hasan
Ketua Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Bagan Datoh

3 comments:

  1. Salam Sdra Madzi

    Secara politiknya, teman sangat mengalu2kan kenyataan si Zahid tu. Kenyataan itu teman lihat boleh membantu lemahkan UMNO. Cuma persoalannya, sejauhmana PR bijak menggunakan ruang dan peluang ini untuk menambahkan lagi nazaknya UMNO. Zahid seolah2 menghidangkan peluang itu untuk PR. Gunakan sebaik mungkin.

    Sebagai rakyat marhaen, tindakan Zahid ini memang menyusahkan rakyat. Tetapi kami marhaen memang telah lama ditindas ditipu dengan helah memanjang oleh UMNO. Biarlah kami susah untuk beberapa tahun lagi sementara menunggu PRU 13.

    Kami yakin PR akan memimpin Malaysia.

    Wallahulam

    ReplyDelete
  2. jangan salahkan DS Ahmad Zahid di Bagan Datoh....tapi salahkan penduduk bgn datoh yang tak pernah dan tak nak berubah....
    Najib sri melintang...

    ReplyDelete
  3. Kenapa gambar DS zahid hamidi kena simbah kat bagan datoh hari tu masa hari raya aidilfitri.Tu sape punya kerja.Tu kan kerja yang tak baik.Berjimatlah wang dari membazir membeli cat untuk kerja yang tidak berfaedah.Saya tidak kata Madzi Hassan,tapi disebabkan madzi tinggal di bagan datoh.

    ReplyDelete