About Me

My photo
Malaysia
Dilahirkan pada tahun 1973 di Bagan Datok, Perak.Mendapat pengajian di UIA dalam bidang undang-undang. Bertugas sebagai peguam di Kuala Lumpur dan Ipoh. Menjadi aktivis Parti Keadilan Rakyat sejak penubuhannya, dan kini diamanahkan sebagai Naib Pengerusi KEADILAN Negeri Perak dan Ketua Cabang Bagan Datok.

Wednesday, December 31, 2008

Oh! I See lagi

Madzi Hasan

Palestin diganyang lagi oleh Yahudi Zionis. Ratusan kanak-kanak yang sedang seronok bermain-main tiba-tiba hilang nyawanya akibat bedilan jet-jet Zionis. Dan sekali lagi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan bertindak pantas untuk melakukan satu perkara yang menjadi kepakaran mereka – iaitu bersidang.

Apabila menyebut OIC, ramai di antara kita sudahpun biasa dengan satu kata-kata sindiran yang sudah menjadi begitu popular iaitu “Oh! I See”. Maknanya, peranan OIC adalah tidak lebih dari membuat kenyataan “Oh! I See”.

Kegagalan OIC memang memalukan. Tetapi, kegagalan itu tidaklah pula mengejutkan. OIC adalah himpunan negara-negara yang lemah, ketinggalan dari segi politik, ekonomi, sosial, teknologi dan sebagainya – jadi apakah sebuah pertubuhan yang berwibawa akan lahir dari kumpulan negara-negara yang tidak berwibawa?

Pada awal abad yang lalu, Al-Amir Syakib Arsalan telah diajukan pertanyaan kepadanya adakah negara-negara Islam akan menjadi kuat jika satu persidangan negara-negara Islam diadakan selepas kejatuhan Empayar Othmaniah. Jawabnya, persidangan itu samalah seperti menghimpunkan angka-angka kosong. 0+0+0+0+0+0 = 0. Apalah gunanya mencampurkan walau sebanyak manapun angka kosong kerana hasilnya tetap kosong.

Walaupun demikian, pemimpin-pemimpin negara-negara Islam beranggapan adanya sebuah pertubuhan seperti OIC adalah lebih baik daripada tiada langsung. Sekurang-kurangnya, pemimpin-pemimpin ini boleh menunjukkan kepada rakyat mereka yang mereka berbuat sesuatu, biarpun setakat ini hasil yang dapat dilihat dari setiap persidangan OIC hanyalah kertas-kertas resolusi. Pemimpin-pemimpin negara Islam hanya pandai mengarang resolusi tetapi tiada keberanian dan kesungguhan untuk melaksanakannya.

Di kalangan negara Islam masih belum muncul satu atau dua negara yang menjadi kuasa ekonomi atau kuasa ketenteraan. Selagi tidak muncul sebuah negara yang boleh menjadi pemimpin kepada negara-negara Islam lain, selagi itulah OIC akan menjadi bahtera tanpa nakhoda.

Sementara menunggu salah sebuah negara Islam menjadi satu negara maju yang kuat, negara-negara Islam sepatutnya cuba membina kekuatan kolektif. Setiap negara mempunyai kekuatan masing-masing tetapi disia-siakan kerana negara-negara Islam tidak pandai untuk mengongsinya untuk kebaikan bersama.

Pengalaman menunjukkan sebarang usaha kolektif sesama negara umat Islam adalah amat sukar disebabkan oleh halangan-halangan politik. Sistem-sistem politik dalam negara-negara Islam adalah cacamarba. Sistem dan amalan demokrasi yang benar-benar bersih dan tulen hampir tidak ada.

Kebanyakan negara-negara Islam masih dipimpin secara autoritarian di mana rakyat tidak diberi kuasa dan kebebasan yang secukupnya untuk mempengaruhi keputusan pemerintah. Akibatnya, kepentingan survival pemerintah menjadi pertimbangan utama dalam proses membuat keputusan. Kepentingan rakyat serta kepentingan ummah menjadi perkara kedua dan ketiga.

Sebagai contoh, negara-negara Islam beraja di Asia Barat masih lagi bergantung kepada Amerika Syarikat untuk mempertahankan keselamatan negara mereka. Sebabnya adalah kerana kerajaan-kerajaan monarki tersebut tidak mahu membina satu angkatan tentera yang besar dan kuat walaupun mereka mempunyai duit petrol yang banyak. Tentera yang kuat akan menjadi ancaman kepada survival politik raja-raja tersebut. Oleh itu, mereka lebih rela membiarkan kuasa asing bertapak di negara mereka walaupun rakyat mereka membenci Amerika dan rakan karibnya, Israel.

Selagi pemimpin-pemimpin jenis ini belum dijatuhkan, selagi itulah kanak-kanak di Palestin tidak akan dapat hidup dan bermain-main seperti kanak-kanak di tempat lain.

Tuesday, December 30, 2008

Ketuanan Melayu - Satu Ilusi

Madzi Hasan
Dalam satu wawancara khas di stesen televisyen Al-Jazeera, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengatakan bahawa istilah Ketuanan Melayu adalah sesuatu yang mengarut. Ini kerana orang Melayu dari dulu hingga sekarang adalah golongan underdog di negara ini. “Penggilap kasut bukanlah Tuan. Orang yang membayar kamu, itulah yang sebenarnya Tuan,” kata Dr Mahathir.

Baru-baru ini pula, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad bin Hj Muhd Taib memberitahu akhbar Sin Chew Daily bahawa Ketuanan Melayu dari segi realitinya adalah tidak wujud. Ia hanyalah pemanis mulut yang tidak bermakna apa-apa.

Jika kenyataan-kenyataan ini datang dari bekas Presiden UMNO dan calon Timbalan Presiden UMNO, maka tidakkah pendukung-pendukung Ketuanan Melayu mula sedar bahawa apa yang mereka laungkan tidak lebih dari sebuah ilusi dan khayalan semata-mata.

Konsep Ketuanan Melayu adalah satu ilusi yang selama ini digunakan untuk mempertahankan kuasa dan kepentingan segelintir kecil golongan elit politik Melayu. Fahaman ini langsung tidak memberi apa-apa inspirasi untuk umat Melayu mengangkat martabat bangsanya. Untung nasib mereka diserahkan kepada golongan penguasa politik Melayu dan mereka merasa selesa hidup bergantung kepada belas ihsan tuan-tuan politik ini. Masyarakat Melayu akhirnya menjadi seperti kambing yang hanya tahu taat dan patuh kepada tuan-tuan politik mereka tanpa banyak soal.

Generasi muda Melayu hari ini mula mempersoalkan, sekiranya konsep Ketuanan Melayu ini sesuatu yang penting dan efektif, tentulah orang Melayu telah menguasai ekonomi negara ini. Selain itu, tentulah budaya dan bahasa Melayu sudah menjadi teras kehidupan masyarakat Malaysia. Dan golongan muda Melayu tentulah tidak dihambat dengan masalah sosial, dadah, pengangguran dan perasaan rendah diri.

Di dalam parlimen telah dibentangkan bahawa pada tahun 2004, pendapatan isi rumah kasar bulanan kaum Bumiputera adalah RM2,711 sebulan, kaum Cina RM4,437, dan kaum India RM3,456. Manakala peratus kadar kemiskinan Bumiputera yang miskin adalah 8.3% dan kaum India cuma 2.9%, sedangkan kaum Cina 0.6%. Pada tahun 2007, 301,000 isi rumah daripada kaum Melayu memperolehi pendapatan di bawah RM1,000.00 sebulan, iaitu kumpulan terbesar yang memperolehi pendapatan paling corot bila dibandingkan dengan kaum-kaum lain. Di manakah keramatnya konsep Ketuanan Melayu ini jika orang Melayu terus-terusan menjadi rakyat kelas ketiga di negaranya sendiri selepas 50 tahun merdeka?

Orang Melayu mesti mengangkat martabat bangsanya lebih tinggi atau sekurang-kurangnya setara dengan kaum-kaum lain. Tetapi untuk mencapai matlamat itu, mereka menghadapi dilema. Adakah mereka perlu terus bernaung di bawah satu parti yang melaungkan ketuanan Melayu tetapi terus gagal walaupun telah diberi peluang selama setengah abad? Ataupun mereka boleh mengenepikan sentimen Ketuanan Melayu dan memberikan kuasa kepada pihak yang memperjuangkan nasib rakyat, terutamanya rakyat miskin.

Pilihanraya Umum pada 8 Mac 2008 menandakan rakyat mula berani memilih parti-parti pelbagai kaum yang mengaku memperjuangkan nasib rakyat terbanyak. Sekaligus ia menunjukkan bermulanya era sistem dua parti di negara ini. Orang Melayu, terutamanya di bandar-bandar, sudah mula mempunyai keyakinan untuk meletakkan nasib mereka di tangan mereka sendiri. Ini kerana mereka yakin bahawa Ketuanan Melayu yang dijanjikan selama ini hanyalah satu impian yang sudah basi dan korup.

Alternatif kepada Ketuanan Melayu ialah Ketuanan Rakyat. Ia bukan bermaksud mengambil ketuanan dari orang Melayu dan menyerahkannya kepada orang Cina dan India. Ketuanan Rakyat bermaksud mengambil ketuanan atau kuasa yang tidak terbatas dari para pemimpin politik dan mengembalikannya kepada rakyat. Ketuanan Rakyat bermaksud kepentingan rakyat terbanyak adalah perkiraan yang paling utama dalam setiap dasar, tindakan dan program pihak pemerintah.

Sekiranya pihak pemerintah melaksanakan konsep Ketuanan Rakyat, orang Melayu jugalah yang akan merasa nikmat dan kesannya. Bukankah 60% daripada keseluruhan rakyat Malaysia adalah orang Melayu? Dan bukankah 70% daripada rakyat miskin di negara ini adalah juga orang Melayu? Sepertimana kata Dr Mahathir, ‘penggilap kasut bukanlah Tuan, orang yang membayar kamu, itulah yang sebenarnya Tuan’. Selama ini orang Melayu menganggap Menteri, Exco dan Wakil Rakyat sebagai tuan. Tetapi hakikatnya, rakyatlah yang sebenarnya tuan kerana rakyatlah yang memilih dan membayar mereka untuk berkhidmat. Itulah Kontrak Sosial yang sebenarnya.