About Me

My photo
Malaysia
Dilahirkan pada tahun 1973 di Bagan Datok, Perak.Mendapat pengajian di UIA dalam bidang undang-undang. Bertugas sebagai peguam di Kuala Lumpur dan Ipoh. Menjadi aktivis Parti Keadilan Rakyat sejak penubuhannya, dan kini diamanahkan sebagai Naib Pengerusi KEADILAN Negeri Perak dan Ketua Cabang Bagan Datok.

Wednesday, January 21, 2009

Kenyataan Media Tentang Arahan Zahid Hamidi Kepada Agensi Kerajaan Pusat Di Perak

Dua minggu yang lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan berunsur fitnah apabila beliau mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Perak mengunci dewan-dewan yang digunakan untuk 700 Tadika KEMAS di negeri itu. Setelah mendapat amaran untuk disaman oleh Kerajaan Negeri atas dakwaan palsu tersebut, beliau sekali lagi menyerlahkan niat jahatnya apabila akhbar-akhbar hari ini melaporkan kenyataannya yang antara lain adalah seperti berikut:

- Tandatangan dan cop rasmi Pengerusi JKKK (Ketua Kampung) dan Penghulu di Negeri Perak tidak akan diiktiraf oleh agensi Kerajaan Pusat;
- Hanya tandatangan dan cop rasmi JPPP sahaja yang akan diiktiraf oleh semua agensi Kerajaan Pusat;
- Ketua jabatan agensi Kerajaan Pusat dilarang menghadiri mesyuarat rasmi anjuran Kerajaan Negeri, kecuali bagi beberapa jabatan tertentu sahaja;
- Antara mesyuarat yang dilarang untuk dihadiri tersebut ialah Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Daerah dan mesyuarat yang dipanggil oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Arahan yang sangat tidak rasional ini sekali lagi menggambarkan sikap pemimpin-pemimpin BN yang membelakangkan keluhuran Perlembagaan dan tatacara yang telah sedia diiktiraf untuk sekian lama. Institusi Ketua Kampung dan Penghulu adalah salah satu daripada institusi yang paling lama dalam sejarah Kesultanan Melayu termasuk di Negeri Perak. Perlantikan Ketua Kampung dan Penghulu dibuat dengan perkenan Sultan sebagai simbol kedaulatan raja dan penurunan kuasa raja di setiap daerah, mukim dan kampung. Di bawah payung istana, institusi Ketua Kampung dan Penghulu telah memainkan peranan yang penting dalam melicinkan pentadbiran dan memupuk perpaduan. Justeru tindakan Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak yang tidak mengiktiraf autoriti yang terdapat pada institusi Ketua Kampung dan Penghulu boleh disifatkan sebagai satu penghinaan dan penderhakaan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Di sebalik retorik untuk menjaga Ketuanan Melayu, UMNO sendirilah yang langsung tidak menunjukkan penghormatan kepada cabang-cabang di dalam institusi Kesultanan Melayu.

Larangan kerjasama antara agensi pusat dan negeri adalah amat bertentangan dengan prinsip dan semangat federalisme seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Federalisme diasaskan kepada kewujudan dua peringkat kerajaan iaitu Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang mempunyai bidangkuasa dan hak masing-masing serta saling bekerjasama untuk kepentingan rakyat. Dalam amalan demokrasi yang sihat, pertukaran kerajaan yang dipilih oleh rakyat, sama ada di peringkat pusat atau negeri, adalah perkara biasa yang tidak akan menjejaskan semangat federalisme. Tetapi di negeri Perak, pemimpin-pemimpin kerajaan pusat tidak henti-henti berusaha untuk menafikan, menceroboh dan mengganggu bidangkuasa dan hak kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, agensi-agensi Kerajaan Pusat mestilah bekerjasama dengan agensi dan institusi Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat dan keutuhan jentera pentadbiran negara. Sejak mengambil alih kuasa, Kerajaan Negeri Perak bersikap amat terbuka dengan menjemput semua ADUN dan Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) yang diadakan setiap bulan. Walau bagaimanapun, Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Ahli Parlimen Bagan Datok tidak pernah menghadiri mesyuarat JKTD tersebut walaupun sekali. Sikap seperti ini menunjukkan betapa jahilnya pemimpin-pemimpin UMNO dalam memahami tanggungjawab asas kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat melalui kerjasama antara pusat dan negeri.

Adalah amat mengejutkan sekali, ketika seluruh dunia berdepan dengan masalah kemelesetan ekonomi, Kerajaan Pusat dengan sengaja memburukkan lagi prospek ekonomi rakyat Perak dengan tidak bekerjasama dalam Majlis Tindakan Ekonomi peringkat negeri dan daerah. Adakah pemimpin UMNO memang suka melihat ramai rakyat Perak hilang pekerjaan, menjadi miskin dan gulung tikar di dalam zaman kegawatan ekonomi ini? Masalah ekonomi semasa adalah satu keadaan yang amat genting yang mana pemimpin-pemimpin politik sepatutnya mengenepikan perbezaan politik demi menjaga periuk nasi rakyat.

Akhir sekali, kenyataan dari Menteri Agama Islam ini adalah amat mengecewakan kerana ia adalah umpama racun yang menyemarakkan perpecahan di kalangan umat Islam di kampung-kampung. Pemimpin yang sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO dulu pernah melaungkan slogan wahdatul fikr (kesatuan fikiran) dan wahdatul amal (kesatuan tindakan), kini rupa-rupanya adalah pencinta perpecahan. Di manakah sikap lapang dada (tasamuh) seorang pemimpin dalam melayani perbezaan dan kepelbagaian di dalam kehidupan umat? Janganlah kerana hendak mencari populariti ketika musim pemilihan parti, maka perpaduan dan kerukunan hidup di kalangan umat dikorbankan.


Madzi Hasan
Ketua Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Bagan Datoh

Monday, January 19, 2009

Isu Hakmilik Kekal

Madzi Hasan
Raja Muda Perak, DYTM Raja Dr Nazrin Shah, dalam ucapannya di hadapan pemimpin-pemimpin mahasiswa pada tahun lalu telah mengingatkan kita supaya membeli, membaca dan menghayati Perlembagaan negara ini. Salah satu prinsip yang paling penting di dalam Perlembagaan negara kita ialah kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan. Lima dekad yang lalu, bapa-bapa kita telah meletakkan asas penubuhan negara ini di atas prinsip federalisme.

Takrifan yang paling ulung tentang federalisme diberikan oleh seorang pakar perlembagaan yang bernama K.C. Wheare. Menurut Wheare, federalisme diasaskan kepada kewujudan dua peringkat kerajaan. Dua peringkat kerajaan ini pula hendaklah dihadkan kepada bidangkuasa masing-masing dan yang satu hendaklah bebas daripada campurtangan kerajaan yang satu lagi.

Dalam amalan demokrasi yang sihat, pertukaran kerajaan yang dipilih oleh rakyat, sama ada di peringkat pusat atau negeri, adalah perkara biasa yang tidak akan menjejaskan prinsip dan semangat federalisme. Tetapi di negara ini, apabila Barisan Nasional tumbang di lima buah negeri, realiti tersebut amat sukar untuk diterima oleh pemimpin-pemimpinnya. Ini kerana selama ini mereka telah menanamkan satu kepercayaan khurafat dan karut di kalangan rakyat bahawa hanya Barisan Nasional sahaja yang boleh memerintah dan membentuk kerajaan.

Isu pemberian hakmilik kekal di Negeri Perak adalah satu lagi episod yang akan menguji keluhuran prinsip federalisme yang termaktub di dalam Perlembagaan. Demi kepentingan politik yang sempit, pemimpin-pemimpin kerajaan pusat sedang berusaha untuk menafikan, menceroboh dan mengganggu bidangkuasa dan hak kerajaan-kerajaan negeri terbabit.

Bidangkuasa kerajaan negeri sebenarnya jauh lebih kecil berbanding bidangkuasa kerajaan pusat. Itulah sebabnya juga pendapatan kerajaan negeri amat terbatas. Sekaya-kaya Negeri Selangor, pendapatan kerajaan negeri Selangor hanyalah sama nilainya dengan 1% sahaja daripada pendapatan kerajaan pusat.

Salah satu bidangkuasa kerajaan negeri yang paling penting dan sekaligus menjadi punca pendapatan utamanya adalah soal tanah. Soal tanah dengan jelasnya diletakkan di bawah bidangkuasa negeri iaitu di dalam Senarai II, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan. Kanun Tanah Negara 1965 memperincikan lagi kuasa negeri di dalam soal tanah sehingga boleh dikatakan pihak berkuasa negeri memiliki kuasa mutlak.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri telah cuba untuk menggunakan kuasa kerajaan pusat untuk mengganggu tindakan Kerajaan Negeri Perak dalam memberi hakmilik kekal kepada penduduk-penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Kampung Baru. Menurut Dato’ Seri Najib Tun Razak, tindakan kerajaan negeri Perak mestilah dirujuk kepada Majlis Tanah Negara terlebih dahulu. Ini menggambarkan seolah-olah Majlis Tanah Negara mempunyai kuasa yang melampaui kuasa negeri dalam hal ehwal tanah.

Majlis Tanah Negara ditubuhkan di bawah Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan untuk menjadi landasan kerjasama di antara kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri. Peranannya adalah untuk merumuskan polisi berkenaan hal ehwal tanah. Walau bagaimanapun, kuasa eksekutif kerajaan negeri dalam soal tanah tetap tidak boleh dipertikai. Majlis Tanah Negara tidak mempunyai kuasa untuk mengambil alih atau memaksa negeri-negeri dalam melaksanakan kuasa mereka sebagaimana yang telah dihuraikan dengan jelas dalam Kanun Tanah Negara 1965. Beberapa kes yang telah diputuskan di mahkamah turut mengesahkan kuasa eksklusif pihak berkuasa negeri dalam perkara ini.

Anehnya, selama ini Majlis Tanah Negara hanya memejamkan mata apabila kerajaan-kerajaan negeri menukar status tanah pajakan kepada hakmilik kekal. Di Pulau Pinang, sebidang tanah tebusguna berstatus pajakan yang asalnya berharga RM54 juta telah ditukar kepada hakmilik kekal oleh kerajaan negeri yang terdahulu. Hasilnya, tauke-tauke pemaju hartanah tersebut akan menambah nilai hartanah mereka kepada berbilion ringgit. Kerajaan Barisan Nasional amat teragak-agak untuk memberi keuntungan kepada rakyat tetapi amat pantas jika ia menguntungkan pemaju-pemaju dan jerung-jerung yang rakus membaham komisen. Apabila kerajaan negeri Perak ingin memberikan keuntungan terus kepada rakyat yang seramai hampir 150,000 pemilik, ianya cuba disekat. Dari jumlah itu, sebanyak 102,000 atau hampir 70% adalah untuk hakmilik Rancangan Perkampungan Tersusun yang mana rata-rata penduduknya adalah dari kaum Melayu.

Kenapakah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional amat payah sekali untuk menghormati semangat federalisme? Asas kepada federalisme adalah penghormatan kepada bidangkuasa dan hak negeri-negeri. Harus diingat, pada suatu masa dahulu, negeri-negeri ini adalah negeri-negeri yang berasingan dan berdaulat, sebelum mereka bersetuju untuk membentuk sebuah persekutuan.

Semenjak merdeka, sudah beberapa kali kerajaan Barisan Nasional mengkhianati prinsip federalisme dengan kaedah membuli dan sabotaj. Pembayaran geran kewangan kepada negeri-negeri yang tidak diperintah oleh Barisan Nasional dilambat-lambatkan. Institusi yang bertindan dan menyaingi institusi kerajaan negeri telah sengaja ditubuhkan. Contoh terbaru mengenainya ialah kewujudan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). Bidangkuasa ke atas air, iaitu satu lagi sumber hasil mahsul yang amat dicemburui, juga sedang cuba diambil alih melalui Syarikat Penguruan Aset Air Berhad (PAAB). Contoh yang paling klasik adalah kemungkiran kerajaan Barisan Nasional dalam pembayaran royalti minyak kepada negeri Terengganu setelah negeri itu diperintah oleh PAS.

Sampai bilakah keadaan ini akan berakhir? Barangkali, selain daripada pingat-pingat kebesaran, selepas ini Raja-raja Melayu seharusnya menghadiahkan senaskhah Perlembagaan Persekutuan kepada setiap pemimpin politik untuk dibaca, difahami dan dihayati.

Friday, January 2, 2009

Falsafah Keadilan

Madzi Hasan


“Tapi ini tak adil!” Berapa kerapkah kita mendengar perkataan tersebut? Kita boleh mendengarnya di tadika, di dalam bilik darjah, di rumah, di padang dan di taman. “Kenapa adik dapat sikit, kakak dapat banyak?” desak anak kecil yang baru berusia 6 tahun.

Kesedaran tentang konsep keadilan bermula sejak awal. Walaupun kanak-kanak berusia 6 tahun mungkin tidak dapat memahami makna keadilan tetapi dia boleh merasakan bila dia dilayan dengan tidak adil. Sebenarnya keadaan ini bukan hanya berlaku kepada kanak-kanak. Orang dewasa juga, melainkan ahli-ahli falsafah, sukar untuk menghuraikan makna keadilan. Tetapi, sepertimana juga kanak-kanak, desakan perasaan untuk keadilan hanya akan menyerlah apabila ketidakadilan berlaku.

Apakah sebenarnya keadilan? Apakah ia sebenarnya, yang dengan ketiadaannya, akan mewujudkan laungan dan desakan yang menggegarkan? Ahli-ahli falsafah zaman silam telah meletakkan keadilan sebagai nilai tertinggi atau kebaikan teragung. Hari ini, konsep keadilan terus menjadi tema yang penting terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Perkataan keadilan juga telah dijadikan nama kepada parti-parti politik termasuk di Malaysia.

Secara ringkas, keadilan adalah suatu keadaan yang dimahukan oleh semua orang. Semua orang mendakwa ia berhak untuk keadilan. ‘Keadilan’ menjadi satu label yang amat berguna untuk memperkukuhkan apa juga matlamat yang ingin mereka capai. Sejak beribu-ribu tahun, setiap protagonis di dalam setiap konflik, peperangan, revolusi, tindakan mahkamah, pilihanraya dan pertengkaran kecil cenderung untuk membuktikan bahawa keadilan berada di pihak mereka.

Oleh itu, adakah keadilan tidak lebih daripada satu simbol yang boleh membangkitkan emosi, sebagaimana satu hentakan di meja apabila kita marah? Adakah ia hanya satu alat yang boleh memberikan gambaran yang besar kepada satu objektif yang kecil? Dalam Revolusi Perancis, rakyat melaungkan “Keadilan!” sedangkan perkara sebenar yang mereka mahukan adalah “Roti!”.

Sungguhpun demikian, pastilah keadilan berbeza daripada roti, kerana ia bukanlah satu objek tetapi satu idea. Sebagaimana idea-idea tentang Kebenaran, Kebebasan dan Keberanian, ia tergolong sebagai salah satu nilai yang menjadi asas kepada apa yang dinamakan idealisme. Hampir semua agama dan semua tamadun mengiktiraf kedudukan keadilan sebagai salah satu nilai yang ideal. Dari idea keadilan muncullah pula undang-undang sebagai alat untuk mencapai dan mempertahankan keadilan.

Di dalam buku A Theory of Justice, seorang pakar jurispruden (jurispruden ialah ilmu falsafah tentang undang-undang) yang bernama John Rawls menyatakan keadilan adalah sesuatu yang wujud di dalam masyarakat adil. Masyarakat yang adil adalah satu masyarakat yang mana setiap orang bersetuju untuk menjadi ahlinya jika diberi pilihan. Dan pilihan itu pula mesti dibuat dalam keadaan setiap orang tersebut tidak mengetahui tentang kedudukannya dan perihal keadaannya di dalam masyarakat itu. Sebagai contoh, sekumpulan pelaut akan belayar di dalam satu kapal tetapi mereka tidak mengetahui siapa yang akan menjadi nakhoda, kelasi, tukang masak atau tukang kayu di dalam kapal tersebut. Di dalam satu masyarakat adil, setiap orang pelaut tersebut seharusnya berfikir seperti berikut : “Kalaupun aku hanya akan menjadi kelasi, aku akan bersetuju jika nakhoda mempunyai bilik kabinnya sendiri supaya tidurnya tidak terganggu dan dia tidak membuat sebarang kesilapan yang boleh menyebabkan kapal ini karam.”

Menurut Rawls, perumpamaan ini boleh dipakai di dalam satu masyarakat sebenar. Oleh itu, keadilan adalah satu susunan atau peraturan sosial yang dipersetujui oleh semua orang tanpa mempedulikan di mana kedudukannya di dalam masyarakat itu. Secara mudah, kita boleh mengatakan bahawa keadilan adalah untuk semua dan mesti diterima oleh semua.

Dari sudut pandangan seorang Muslim, teori yang dibawa oleh Rawls itu tadi lebih mudah lagi difahami dengan satu takrifan tentang keadilan yang amat terkenal – iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Untuk memastikan sesuatu itu terletak pada tempatnya yang sebenar, maka orang Islam memerlukan tasawwur (worldview) ataupun pandangan alam yang boleh memandu kita melakukan keadilan. Sebagai contoh, Islam meletakkan nilai tertinggi kepada aqidah tauhid, oleh itu mereka yang murtad telah melakukan satu kezaliman yang terbesar iaitu dengan sengaja memilih kekufuran. Menurut hukum Islam, hukuman yang adil kepada kezaliman yang sedemikian adalah mencabut haknya daripada terus hidup di bumi Allah ini.

Keadilan datangnya dari Allah. Salah satu daripada nama-nama Allah ialah “Yang Maha Adil”. Keadilan itu juga biasanya digandingkan dengan konsep kebenaran – kerana tanpa mengetahui kebenaran kita tidak dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya. Di dalam Surah Al-Maaidah, Allah menyebutkan :
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu selalu menjadi orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah dan menjadi saksi pada keadilan.” Dari ayat ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa kebenaran dan keadilan tidak dapat dipisahkan.

Seorang Muslim meyakini bahawa keadilan sebenarnya berpunca dari Tuhan dan dibimbing oleh wahyu iaitu Al-Quran. Naluri untuk keadilan, sebagaimana yang ditunjukkan oleh anak kecil di dalam perenggan pertama tulisan ini, telah sedia wujud di dalam jiwa setiap manusia. Bagi orang Islam, menerimanya adalah ketaatan, menegakkannya adalah satu kewajipan dan memperjuangkannya adalah jihad. Dalam urutan keutamaan yang ditentukan oleh Islam, keadilan terletak di tempat yang tinggi. Ketinggiannya itu mengatasi perkara-perkara lain seperti kestabilan, kemakmuran ekonomi ataupun perpaduan umat. Hanya apabila keadilan telah ditegakkan dan kezaliman dihapuskan, maka kebaikan-kebaikan yang lain itu akan terlaksana dengan mudah.

Thursday, January 1, 2009

Kisah Malibu Rock

Madzi Hasan

Cerita di bawah saya ambil, terjemah dan sesuaikan daripada sebuah buku yang ditulis oleh Robert H.Schuller.

Cerita ini adalah tentang seketul batu. Ia bukannya cerita batu belah batu bertangkup tetapi ia adalah sebuah cerita benar. Ianya berlaku di sebuah bandar peranginan bernama Malibu yang terletak di California, Amerika Syarikat. Malibu terletak di antara banjaran bukit-bukau dan persisiran pantai yang menghadap ke Lautan Pasifik.

Di atas salah sebuah bukit di pinggir bandar Malibu, tersergam berdiri seketul batu besar yang telah wujud di situ sejak beribu-ribu tahun dahulu. Sejak kawasan tersebut didiami oleh manusia, tiada siapapun mempedulikan batu besar tersebut. Hinggalah pada suatu hari, seorang penduduk di Malibu melihat ke arah batu tersebut lantas terfikir, “Kalaulah batu besar itu jatuh ke bawah, rumahku akan hancur berkecai.” Lalu dia berusaha meyakinkan jiran-jirannya tentang kemungkinan itu dan menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak. Mereka membuat persediaan untuk menyaman pihak berkuasa jika batu itu betul-betul jatuh dan merosakkan harta benda mereka. Mereka berhujah bahawa daripada hasil kajian mereka, batu itu telah menunjukkan tanda-tanda pergerakan yang mencurigakan.

Setelah digertak dengan tindakan saman, pihak berkuasa cepat-cepat memikul tanggungjawab untuk membuang batu tersebut. Dalam sekelip mata sahaja, batu besar yang tidak bernama itu menjadi berita sensasi di seluruh Amerika Syarikat dan mula dikenali dengan nama Malibu Rock. Pihak berkuasa menggunakan dua buah jentolak untuk menolak batu tersebut, tetapi kekuatan kedua-duanya tidak berdaya menggerakkan batu itu walaupun seinci. Kemudian, mereka menggunakan helikopter untuk menarik batu itu dengan tali kabel yang tebal sambil dibantu oleh dua jentolak tadi. Batu itu masih tidak berganjak dari tempatnya.

Akhirnya, mereka menggunakan satu kekuatan yang tiada tandingannya iaitu pancutan air deras. Selama empat hari empat malam batu tersebut disembur dengan beribu-ribu gelen air dengan kederasan tinggi. Setelah empat hari, batu yang telah longgar itu akhirnya berjaya dicabut setelah helikopter dan jentolak digunakan semula. Hasil pekerjaan mereka itu mengejutkan semua orang kerana mereka mendapati rupa-rupanya sebahagian besar batu itu tertanam jauh ke dalam tanah. Oleh itu, kemungkinan untuk ia jatuh dengan sendirinya tidak akan berlaku sekurang-kurangnya untuk sejuta tahun lagi.

Walau bagaimanapun, tugas itu telah pun selesai. Batu itu telah tercabut lalu bergolek jatuh ke tengah-tengah lebuhraya. Satu juta dolar wang pembayar-pembayar cukai telah digunakan untuk menanggung kos operasi tersebut. Kesan ketiadaan batu itu bertukar menjadi satu ironi bagi penduduk-penduduk yang mendesak penghapusannya. Apa yang mereka takuti, iaitu kerosakan harta benda mereka, akhirnya menjadi kenyataan. Rumah-rumah mereka telah rosak kerana apabila hujan turun, lumpur akan mengalir dari bukit tersebut. Selama ini batu itulah yang memperkukuhkan struktur bukit tersebut. Rupa-rupanya mereka telah membuang teman setia mereka sendiri.

Pada masa yang sama, seorang pengukir muda dari Australia mengikuti siaran media tentang batu tersebut dari bilik hotelnya di Los Angeles. Apabila dia mendapat tahu yang batu tersebut akan jatuh, dia bergegas ke Malibu untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Beliau terus mendekati pegawai-pegawai Jabatan Lebuhraya dan berkata, “Saya mahu membeli batu ini.” Mereka mentertawakannya lalu dengan senang hati menjual batu tersebut kepadanya dengan harga seratus dolar. Bukan itu sahaja, pegawai-pegawai tersebut memberi satu syarat kepadanya supaya mengalihkan batu tersebut dari atas lebuhraya itu dalam tempoh 48 jam. Bayangkanlah betapa leganya perasaan pegawai-pegawai kerajaan tersebut.

Syarat itu tidak melemahkan semangat anak muda itu walaupun batu itu dianggarkan seberat 20 tan. Dia kembali ke Los Angeles untuk meyakinkan saudagar-saudagar di sebuah pusat membeli-belah yang batu besar itu akan diukir sehingga menjadi bahan tarikan yang indah di tempat tersebut. Dia berjaya mengumpulkan pelaburan berjumlah 20 ribu dolar dan esoknya batu itu dibawa ke Los Angeles. Selama empat bulan dia bekerja 10 jam sehari untuk memahat dan mengukir batu itu menjadi bentuk seorang pelakon koboi yang terkenal, John Wayne. Menurutnya, batu itu mempunyai ciri-ciri persamaan dengan John Wayne iaitu ‘teguh dan sukar dijatuhkan’.

Di Arizona, seorang jutawan yang juga seorang peminat John Wayne mendengar tentang ukiran dan kemasyhuran batu tersebut. Beliau datang kepada pengukir muda itu dan menawarkan untuk membeli batu tersebut. Harganya, satu juta dolar. Dan khabar angin yang terbaru menyatakan bahawa jutawan itu akan mempamerkan ukiran batu itu di dalam Muzium J. Paul Getty – yang terletak hanya beberapa kilometer dari bukit tempat asal batu tersebut. Jadi, ada orang yang melihat batu itu sebagai ancaman, manakala anak muda itu melihatnya sebagai peluang keemasan.

Ada dua jenis manusia di dalam ini – mereka yang melihat segala-galanya mustahil dan mereka yang melihat segala-galanya tidak mustahil. Golongan yang pertama sentiasa mencari jalan untuk mengelakkan bahaya yang belum terjadi. Mereka mahu segala-galanya terjamin selamat dan bebas dari risiko. Golongan yang kedua pula percaya bahawa tiada jalan lain untuk mencapai kejayaan selain daripada menghadapi sedikit bahaya dan kesusahan. Dengan keyakinan dan ketabahan, mereka boleh menukar batu penghalang menjadi batu loncatan.