Oleh: Madhi Hj Hasan
[Ucapan disampaikan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Bagan Datoh pada 25 September 2010]
Kami dahului ucapan ini dengan aluan selamat datang ke Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Bagan Datoh bagi tahun 2010. Kehadiran saudara-saudari kami hargai sebagai tanda setiakawan dan dukungan padu kepada wadah Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Mesyuarat Agung tahun ini menyedarkan kita tentang kedewasaan kita yang sudah menjangkau memasuki dekadnya yang kedua. Dekad pertama (1999 – 2009) telah berlalu bersama timbunan pengalaman pahit manis yang amat bernilai untuk ditelaah dan dipelajari. Beberapa tahun yang lalu, pemerhati-pemerhati politik meramalkan KEADILAN akan menerima nasib seperti Parti Semangat 46 yang hayatnya hanya mampu bertahan selama 7 tahun. Ramai juga pemimpin dan ahli KEADILAN yang percaya dengan ramalan ini lalu seorang demi seorang meninggalkan perjuangan. Di sesetengah tempat, organisasi parti hampir pupus dan yang tinggal hanyalah dua tiga kerat pejuang yang tetap istiqamah untuk terus menjulang bendera parti.
Pilihanraya Umum pada 8hb Mac 2008 adalah satu pilihanraya yang paling mengejutkan semua pemerhati politik. Mereka meramalkan KEADILAN akan lenyap selepas PRU-12, tetapi dengan pertolongan Tuhan kita hampir-hampir menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional dengan bantuan PAS dan DAP. Lima buah negeri termasuk Negeri Perak telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Justeru rakyat membuka mata dan menyedari rupa-rupanya kepercayaan bahawa BN tidak mungkin kalah adalah satu fahaman yang karut dan khurafat semata-mata.
Kejayaan di luar dugaan yang kita alami 2 tahun lalu membawakan kepada kita cabaran-cabaran baru yang tidak pernah dihadapi tatkala kita dianggap sebagai parti picisan suatu ketika dahulu. Kalau dulu rejim Mahathir menekan kita dengan menghumban aktivis-aktivis kita ke dalam tahanan, kini pihak musuh mengeksploitasi kelemahan disiplin dan rendahnya kualiti ahli-ahli kita dengan umpan wang dan sogokan. Setakat ini, 10 orang Ahli Parlimen dan ADUN dari parti kita telah kecundang oleh godaan nafsu lalu menjadi pengkhianat dengan menjual maruah mereka kepada pihak lawan.
Walau apa pun, KEADILAN hari ini bukan lagi seperti Parti Keadilan Nasional 10 tahun yang lalu. Rakyat dari semua kaum menunjukkan minat yang luarbiasa untuk menyertai parti kita kerana segala petanda dan isyarat menunjukkan bahawa era pemerintahan Barisan Nasional sudah sampai ke penghujungnya. Selain daripada faktor itu, KEADILAN juga memiliki ciri-ciri sebagai parti pilihan untuk masa depan. Teras perjuangannya bukanlah perkauman atau keagamaan yang sempit dan semakin tidak relevan tetapi keadilan untuk rakyat. Keupayaan KEADILAN untuk menampung dan meraikan semua kaum dan golongan adalah kekuatannya yang paling digeruni.
Tahun ini juga merupakan tahun yang bersejarah kerana buat pertama kali KEADILAN akan mempelopori kaedah Satu Ahli Satu Undi dalam memilih pemimpin-pemimpin parti di peringkat cabang dan pusat. Amalan demokrasi seperti ini sememangnya menguji kematangan dan kecerdikan ahli-ahli dalam menentukan kepimpinan yang terbaik untuk parti. Sebelum mengangkat seseorang individu sebagai pemimpin, ahli-ahli mestilah mempunyai kefahaman yang jelas tentang ciri-ciri pemimpin yang paling layak. Di sini, pesanan Dr Syed Husin Ali, pejuang veteran dan Timbalan Presiden KEADILAN wajar dijadikan pedoman. Menurut beliau, orang yang memimpin parti haruslah orang yang komited kepada asas-asas perjuangan parti, menghormati disiplin organisasi parti, sudah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara berpasukan, menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendukung nilai akhlak yang tinggi.
Pemimpin yang baik hanya lahir dari pengikut yang baik. Dalam keghairahan untuk mencari tempat dan kedudukan dalam parti, kita jangan lupa bahawa parti ini tidak akan berjaya jika kita tidak mempunyai disiplin dan adab dalam berorganisasi. Tanpa disiplin kejayaan yang diperoleh takkan bertahan lama. Ini terbukti dalam episod tumbangnya Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak setahun yang lalu. Kejayaan yang dikecap hasil penat lelah bertahun-tahun akhirnya musnah dalam sekelip mata sahaja hanya kerana rapuhnya disiplin dua orang ahli KEADILAN. Oleh itu, tidak ada maknanya kita berebut jawatan sehingga mengenepikan disiplin dan adab sekiranya selepas PRU-13 nanti kita masih lagi bergelar parti pembangkang.
Kami yakin masanya sudah hampir untuk kita menawan Putrajaya. Tetapi untuk sampai ke sana kita mestilah terlebih dahulu menang di hampir semua kawasan Parlimen yang kita bertanding termasuklah di tempat kita iaitu Bagan Datoh. Tanggungjawab untuk mencapai sasaran ini adalah tanggungjawab semua ahli KEADILAN di Bagan Datoh. Kalau saudara-saudari mahu kita menawan Parlimen Bagan Datoh dan sekaligus mengambil alih Putrajaya, kami sarankan saudara-saudari menanyakan soalan-soalan ini kepada diri masing-masing:
1. Adakah saudara telah mendaftarkan diri saudara, suami/isteri, anak-anak, adik beradik, saudara mara dan jiran-jiran saudara untuk menjadi ahli keADILan?
2. Sudahkah saudara membaca akhbar atau laman web parti yang terbaru?
3. Biasakah saudara menyumbang wang ringgit atau tenaga untuk menjayakan program parti?
4. Adakah saudara menjalankan tugas saudara di peringkat cabang atau ranting dengan penuh disiplin sesuai dengan jawatan yang telah dimanahkan kepada saudara?
5. Adakah saudara selalu menghubungi pemimpin-pemimpin peringkat cabang, negeri dan pusat untuk berkongsi maklumat dan mendapatkan panduan?
6. Adakah saudara memperbaiki kelemahan diri saudara dengan mendalami ilmu politik, membanyakkan kerja dari bercakap, membanyakkan membaca, serta menyertai program-program latihan?
7. Adakah saudara bebas dari perasaan iri hati serta tabiat suka mengumpat dan memperleceh pemimpin-pemimpin dan rakan-rakan seperjuangan saudara sendiri?
Sekiranya setiap orang dari saudara-saudari boleh memberikan jawapan “YA” kepada soalan-soalan di atas, percayalah bahawa kita sebenar-benarnya telah layak untuk mengecap kemenangan.
Ranting adalah nadi terpenting dalam organisasi kita. Jika ranting tidak wujud atau lemah bermakna lemahlah parti dan pudarlah harapan untuk memenangi pilihanraya. Ranting perlu aktif agar masyarakat setempat dapat mengiktiraf bahawa parti kita dan pemimpin-pemimpinnya di semua peringkat mempunyai keupayaan untuk mengambil alih kuasa, Oleh itu, saudara-saudari sebagai pemimpin dan ahli di peringkat ranting mestilah melakukan perkara-perkara berikut:
(i) Menjaga perilaku dan akhlak sehingga menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.
(ii) Memperkemas catitan mesyuarat, rekod ahli, borang keahlian, tabung dana, dan surat-menyurat.
(iii) Merancang aktiviti ranting setiap bulan, berusaha mengumpul dana dan membentuk jawatankuasa untuk melaksanakan program-program.
(iv) Sentiasa mencari ahli baru dan melatih ahli-ahli supaya berdisiplin, memahami perjuangan parti dan mempunyai kemahiran sebagai petugas pilihanraya.
(v) Memberi khidmat kepada masyarakat dengan melaksanakan program kebajikan, khidmat pendidikan, menyelesaikan isu-isu setempat dan pelbagai lagi inisiatif yang boleh mengangkat imej parti.
Pihak yang berada di atas landasan kebenaran dan keadilan biasanya memperoleh kemenangan setelah melalui ujian getir dan fitnah. Perjuangan dan pengorbanan kita selama ini tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan pengorbanan Anwar Ibrahim. Beliau telah mengharungi 2 tahun di dalam tahanan ISA, 6 tahun di dalam penjara dan kini beliau berdepan dengan kemungkinan dihantar semula ke Penjara Sg Buloh. Bagi para pemfitnah yang zalim dan munafik itu, kita yakin Allah akan membalas tipu daya mereka itu dengan menjadikan mereka jatuh terhina di hadapan rakyat.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan kepada saya sejak saya terjun ke medan perjuangan sebagai Ketua Pemuda pada tahun 1999, bertanding dalam pilihanraya dua kali dan memimpin Cabang Bagan Datoh sejak tahun 2004 sehingga kini. Atas kepercayaan dan sokongan ikhlas yang saudara-saudari berikan, saya berdoa agar semuanya dibalas dengan ganjaran oleh Tuhan.
Selamat Bermesyuarat Agung dan Melaksanakan Pemilihan
About Me
- Madhi Haji Hasan
- Malaysia
- Dilahirkan pada tahun 1973 di Bagan Datok, Perak.Mendapat pengajian di UIA dalam bidang undang-undang. Bertugas sebagai peguam di Kuala Lumpur dan Ipoh. Menjadi aktivis Parti Keadilan Rakyat sejak penubuhannya, dan kini diamanahkan sebagai Naib Pengerusi KEADILAN Negeri Perak dan Ketua Cabang Bagan Datok.
Tuesday, October 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment