About Me

My photo
Malaysia
Dilahirkan pada tahun 1973 di Bagan Datok, Perak.Mendapat pengajian di UIA dalam bidang undang-undang. Bertugas sebagai peguam di Kuala Lumpur dan Ipoh. Menjadi aktivis Parti Keadilan Rakyat sejak penubuhannya, dan kini diamanahkan sebagai Naib Pengerusi KEADILAN Negeri Perak dan Ketua Cabang Bagan Datok.

Monday, September 24, 2012

KENYATAAN MEDIA TENTANG PROJEK TEBUSGUNA TANAH DI BAGAN DATOH


  1. Pada 15hb Februari 2012, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (“PKNP”) telah menandatangani Perjanjian Pemajuan Bersama (Joint Development Agreement) dengan sebuah syarikat swasta bagi projek tebusguna tanah seluas 3,400 ekar di Bagan Datoh yang dinamakan sebagai Perak Eco-Industrial Hub. 

  1. Kerajaan Barisan Nasional Negeri Perak telah memberi kelulusan kepada PKNP untuk terlibat dalam projek usahasama tersebut pada 7hb Disember 2011 dan PKNP memegang kepentingan sebanyak 20% di dalam syarikat pemaju tersebut.

  1. Projek ini melibatkan proses menambak laut sehingga membentuk satu pulau buatan manusia dengan keluasan 3,400 ekar dengan tujuan untuk dijadikan sebuah kawasan industri yang akan menempatkan kilang besi, pelabuhan, industri perkapalan dan lain-lain industri berkaitan.

  1. Projek tebusguna tanah laut adalah satu alat pembangunan yang lazimnya digunakan di negara atau wilayah yang kekurangan tanah seperti Belanda, Jepun, Singapura dan Pulau Pinang. Apakah rasionalnya Kerajaan Barisan Nasional Negeri Perak meluluskan projek penambakan laut bagi satu kawasan yang amat besar iaitu seluas 3,400 ekar sedangkan Perak masih belum kekurangan tanah? Selain daripada itu, taman-taman perindustrian yang berserakan di dalam negeri ini masih banyak lagi yang belum dimanfaatkan akibat kelembapan kemasukan pelaburan asing.

  1. Kawasan yang terlibat dengan projek tebusguna ini merangkumi tiga perkampungan nelayan masyarakat Tionghua di Bagan Datoh, iaitu Bagan Pasir Laut, Bagan Sg Belukang dan Bagan Sg Tiang dan beberapa kampung  tradisional Melayu yang didiami oleh nelayan-nelayan pesisir pantai.

  1. Kerajaan Barisan Nasional Negeri Perak sepatutnya mengambil kira kesan projek seperti ini kepada alam sekitar dan kehidupan nelayan-nelayan di seluruh Bagan Datoh atas faktor-faktor berikut:

-          proses penambakan laut akan menjejaskan hidupan laut seperti terumbu karang, ikan dan tumbuhan dasar laut akibat perubahan kelajuan ombak dan arah aliran arus.

-          aktiviti pengisian pasir akan meningkatkan kekeruhan air dan menjejaskan pertumbuhan plankton yang menjadi makanan hidupan laut lalu mengurangkan pembiakan ikan.


-          kewujudan pulau buatan manusia akan menyebabkan perubahan arus laut yang mengakibatkan hakisan di pinggir-pinggir pantai.

-          haiwan-haiwan seperti burung laut dan tumbuh-tumbuhan seperti pokok-pokok kayu bakau akan terjejas dengan teruknya.

-          kegiatan masyarakat nelayan dan industri yang sedia ada seperti industri burung walit dan kolam-kolam ternakan udang akan mengalami kesan buruk.

-          projek tebusguna yang berdekatan dengan penempatan nelayan pasti akan menyebabkan penempatan bagi nelayan-nelayan tersebut terpaksa dipindahkan kerana kawasan tersebut sudah tidak sesuai lagi untuk aktiviti perikanan.


  1. Pihak pemaju akan memerlukan RM15 bilion untuk melaksanakan pembinaan kawasan industri ini termasuk membina kilang besi waja dan pastinya pemaju memerlukan pembiayaan daripada institusi kewangan. Kami bimbang sekiranya tanah milik Kerajaan Negeri seluas 3,400 ekar tersebut dijadikan cagaran sedangkan tiada jaminan yang projek ini akan berjaya menarik pelabur-pelabur untuk membeli lot-lot perindustrian di atas tanah tebusguna tersebut.

  1. Kami khuatir projek ini akan mengulangi kesilapan Kerajaan Barisan Nasional memberikan hakmilik tanah seluas 84 ekar di Bagan Pasir Laut, Bagan Datoh kepada Ghadaf Marble Sdn Bhd pada tahun 1997 sedangkan tanah tersebut masih didiami oleh hampir 200 keluarga nelayan sejak puluhan tahun. Tanah tersebut telah dicagarkan kepada bank tetapi selepas 15 tahun berlalu pelabuhan yang dijanjikan untuk dibina di atas tanah tersebut masih lagi tidak beroperasi.

  1. Selain daripada kawasan kilang, tanah tebusguna tersebut kononnya akan menempatkan sebuah pelabuhan baru. Apakah keperluannya membina sebuah lagi pelabuhan di Bagan Datoh sedangkan cadangan pelabuhan sedia ada iaitu  oleh Ghadaf Marble Sdn Bhd telah menjadi satu projek gajah putih yang menyakitkan mata? Adalah lebih strategik sekiranya Kerajaan Negeri Perak meningkatkan keupayaan Pelabuhan Lumut daripada membina sebuah pelabuhan baru di atas tanah tebusguna dengan kos yang tinggi.

  1. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Ahli Parlimen Bagan Datoh mestilah memikul tanggungjawab sekiranya apa yang telah terjadi kepada komuniti nelayan di Bagan Pasir Laut berulang sekali lagi. Beliau sepatutnya menumpukan usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah nelayan di kawasannya ataupun memastikan projek-projek yang lebih munasabah seperti janji membina sebuah limbungan kapal di Bagan Datoh benar-benar ditepati.

  1. KEADILAN mendesak agar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membatalkan kelulusan projek tersebut berdasarkan pertimbangan terhadap impak negatif projek tersebut kepada kehidupan rakyat dan alam sekitar. Kami kesal kerana Kerajaan Barisan Nasional amat ghairah untuk membuat pengumuman-pengumuman projek mega menjelang Pilihan Raya Umum sehingga meminggirkan kepentingan rakyat.


MADHI HAJI HASAN
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perak
merangkap Ketua PKR Cabang Bagan Datoh

21 September 2012

Thursday, July 28, 2011

KENYATAAN MEDIA

16 MEI 2011

TUDUHAN ZAHID HAMIDI KETERLALUAN


1. Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak menganggap kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar sebagai keterlaluan dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Menteri yang bertanggungawab menjaga keselamatan negara.

2. Ini ekoran kenyataan Menteri Pertahanan tersebut yang membuat tuduhan melulu bahawa laporan polis yang dibuat oleh Nurul Izzah Anwar berkenaan keselamatan anaknya hanyalah satu taktik ‘reverse psychology’ demi meraih simpati masyarakat.

3. Nurul Izzah telah membuat laporan polis pada 13 Mei 2011 berhubung ugutan untuk menculik anak Ahli Parlimen tersebut yang diterimanya melalui SMS daripada seorang individu tidak dikenali.

4. Zahid Hamidi sepatutnya lebih sensitif terhadap perasaan seorang ibu yang mana adalah mustahil seorang ibu sanggup mengeksploitasi anaknya sendiri dengan membuat laporan palsu tentang ancaman culik semata-mata untuk mendapat keuntungan politik.

5. Sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara beliau sepatutnya lebih prihatin dalam isu-isu keselamatan tanpa mengira siapa yang menjadi mangsa.

6. Adalah dibimbangi kenyataannya itu mungkin memprejudiskan dan mempengaruhi siasatan pihak polis dalam kes tersebut.

7. Sekiranya sikap buruk sangka tersebut berpunca daripada kemarahannya terhadap Nurul Izzah yang begitu kritikal dalam isu kapal selam dan enjin jet hilang sebelum ini, maka tuduhan yang tidak bertimbang rasa ini menggambarkan kegagalan beliau untuk bersikap secara profesional dan matang sebagai seorang Menteri dan ahli politik veteran.

8. Kami menyokong sepenuhnya desakan yang dibuat oleh pelbagai pihak yang menuntut Zahid Hamidi memohon maaf kepada Nurul Izzah dan keluarganya serta menarik balik kenyataannya dengan segera.



MADHI HAJI HASAN
Naib Pengerusi
Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak

Tuesday, October 26, 2010

UCAPAN KETUA CABANG BAGAN DATOH

Oleh: Madhi Hj Hasan

[Ucapan disampaikan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Bagan Datoh pada 25 September 2010]

Kami dahului ucapan ini dengan aluan selamat datang ke Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Bagan Datoh bagi tahun 2010. Kehadiran saudara-saudari kami hargai sebagai tanda setiakawan dan dukungan padu kepada wadah Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Mesyuarat Agung tahun ini menyedarkan kita tentang kedewasaan kita yang sudah menjangkau memasuki dekadnya yang kedua. Dekad pertama (1999 – 2009) telah berlalu bersama timbunan pengalaman pahit manis yang amat bernilai untuk ditelaah dan dipelajari. Beberapa tahun yang lalu, pemerhati-pemerhati politik meramalkan KEADILAN akan menerima nasib seperti Parti Semangat 46 yang hayatnya hanya mampu bertahan selama 7 tahun. Ramai juga pemimpin dan ahli KEADILAN yang percaya dengan ramalan ini lalu seorang demi seorang meninggalkan perjuangan. Di sesetengah tempat, organisasi parti hampir pupus dan yang tinggal hanyalah dua tiga kerat pejuang yang tetap istiqamah untuk terus menjulang bendera parti.

Pilihanraya Umum pada 8hb Mac 2008 adalah satu pilihanraya yang paling mengejutkan semua pemerhati politik. Mereka meramalkan KEADILAN akan lenyap selepas PRU-12, tetapi dengan pertolongan Tuhan kita hampir-hampir menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional dengan bantuan PAS dan DAP. Lima buah negeri termasuk Negeri Perak telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Justeru rakyat membuka mata dan menyedari rupa-rupanya kepercayaan bahawa BN tidak mungkin kalah adalah satu fahaman yang karut dan khurafat semata-mata.

Kejayaan di luar dugaan yang kita alami 2 tahun lalu membawakan kepada kita cabaran-cabaran baru yang tidak pernah dihadapi tatkala kita dianggap sebagai parti picisan suatu ketika dahulu. Kalau dulu rejim Mahathir menekan kita dengan menghumban aktivis-aktivis kita ke dalam tahanan, kini pihak musuh mengeksploitasi kelemahan disiplin dan rendahnya kualiti ahli-ahli kita dengan umpan wang dan sogokan. Setakat ini, 10 orang Ahli Parlimen dan ADUN dari parti kita telah kecundang oleh godaan nafsu lalu menjadi pengkhianat dengan menjual maruah mereka kepada pihak lawan.

Walau apa pun, KEADILAN hari ini bukan lagi seperti Parti Keadilan Nasional 10 tahun yang lalu. Rakyat dari semua kaum menunjukkan minat yang luarbiasa untuk menyertai parti kita kerana segala petanda dan isyarat menunjukkan bahawa era pemerintahan Barisan Nasional sudah sampai ke penghujungnya. Selain daripada faktor itu, KEADILAN juga memiliki ciri-ciri sebagai parti pilihan untuk masa depan. Teras perjuangannya bukanlah perkauman atau keagamaan yang sempit dan semakin tidak relevan tetapi keadilan untuk rakyat. Keupayaan KEADILAN untuk menampung dan meraikan semua kaum dan golongan adalah kekuatannya yang paling digeruni.

Tahun ini juga merupakan tahun yang bersejarah kerana buat pertama kali KEADILAN akan mempelopori kaedah Satu Ahli Satu Undi dalam memilih pemimpin-pemimpin parti di peringkat cabang dan pusat. Amalan demokrasi seperti ini sememangnya menguji kematangan dan kecerdikan ahli-ahli dalam menentukan kepimpinan yang terbaik untuk parti. Sebelum mengangkat seseorang individu sebagai pemimpin, ahli-ahli mestilah mempunyai kefahaman yang jelas tentang ciri-ciri pemimpin yang paling layak. Di sini, pesanan Dr Syed Husin Ali, pejuang veteran dan Timbalan Presiden KEADILAN wajar dijadikan pedoman. Menurut beliau, orang yang memimpin parti haruslah orang yang komited kepada asas-asas perjuangan parti, menghormati disiplin organisasi parti, sudah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara berpasukan, menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendukung nilai akhlak yang tinggi.

Pemimpin yang baik hanya lahir dari pengikut yang baik. Dalam keghairahan untuk mencari tempat dan kedudukan dalam parti, kita jangan lupa bahawa parti ini tidak akan berjaya jika kita tidak mempunyai disiplin dan adab dalam berorganisasi. Tanpa disiplin kejayaan yang diperoleh takkan bertahan lama. Ini terbukti dalam episod tumbangnya Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak setahun yang lalu. Kejayaan yang dikecap hasil penat lelah bertahun-tahun akhirnya musnah dalam sekelip mata sahaja hanya kerana rapuhnya disiplin dua orang ahli KEADILAN. Oleh itu, tidak ada maknanya kita berebut jawatan sehingga mengenepikan disiplin dan adab sekiranya selepas PRU-13 nanti kita masih lagi bergelar parti pembangkang.

Kami yakin masanya sudah hampir untuk kita menawan Putrajaya. Tetapi untuk sampai ke sana kita mestilah terlebih dahulu menang di hampir semua kawasan Parlimen yang kita bertanding termasuklah di tempat kita iaitu Bagan Datoh. Tanggungjawab untuk mencapai sasaran ini adalah tanggungjawab semua ahli KEADILAN di Bagan Datoh. Kalau saudara-saudari mahu kita menawan Parlimen Bagan Datoh dan sekaligus mengambil alih Putrajaya, kami sarankan saudara-saudari menanyakan soalan-soalan ini kepada diri masing-masing:

1. Adakah saudara telah mendaftarkan diri saudara, suami/isteri, anak-anak, adik beradik, saudara mara dan jiran-jiran saudara untuk menjadi ahli keADILan?
2. Sudahkah saudara membaca akhbar atau laman web parti yang terbaru?
3. Biasakah saudara menyumbang wang ringgit atau tenaga untuk menjayakan program parti?
4. Adakah saudara menjalankan tugas saudara di peringkat cabang atau ranting dengan penuh disiplin sesuai dengan jawatan yang telah dimanahkan kepada saudara?
5. Adakah saudara selalu menghubungi pemimpin-pemimpin peringkat cabang, negeri dan pusat untuk berkongsi maklumat dan mendapatkan panduan?
6. Adakah saudara memperbaiki kelemahan diri saudara dengan mendalami ilmu politik, membanyakkan kerja dari bercakap, membanyakkan membaca, serta menyertai program-program latihan?
7. Adakah saudara bebas dari perasaan iri hati serta tabiat suka mengumpat dan memperleceh pemimpin-pemimpin dan rakan-rakan seperjuangan saudara sendiri?

Sekiranya setiap orang dari saudara-saudari boleh memberikan jawapan “YA” kepada soalan-soalan di atas, percayalah bahawa kita sebenar-benarnya telah layak untuk mengecap kemenangan.

Ranting adalah nadi terpenting dalam organisasi kita. Jika ranting tidak wujud atau lemah bermakna lemahlah parti dan pudarlah harapan untuk memenangi pilihanraya. Ranting perlu aktif agar masyarakat setempat dapat mengiktiraf bahawa parti kita dan pemimpin-pemimpinnya di semua peringkat mempunyai keupayaan untuk mengambil alih kuasa, Oleh itu, saudara-saudari sebagai pemimpin dan ahli di peringkat ranting mestilah melakukan perkara-perkara berikut:

(i) Menjaga perilaku dan akhlak sehingga menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.
(ii) Memperkemas catitan mesyuarat, rekod ahli, borang keahlian, tabung dana, dan surat-menyurat.
(iii) Merancang aktiviti ranting setiap bulan, berusaha mengumpul dana dan membentuk jawatankuasa untuk melaksanakan program-program.
(iv) Sentiasa mencari ahli baru dan melatih ahli-ahli supaya berdisiplin, memahami perjuangan parti dan mempunyai kemahiran sebagai petugas pilihanraya.
(v) Memberi khidmat kepada masyarakat dengan melaksanakan program kebajikan, khidmat pendidikan, menyelesaikan isu-isu setempat dan pelbagai lagi inisiatif yang boleh mengangkat imej parti.

Pihak yang berada di atas landasan kebenaran dan keadilan biasanya memperoleh kemenangan setelah melalui ujian getir dan fitnah. Perjuangan dan pengorbanan kita selama ini tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan pengorbanan Anwar Ibrahim. Beliau telah mengharungi 2 tahun di dalam tahanan ISA, 6 tahun di dalam penjara dan kini beliau berdepan dengan kemungkinan dihantar semula ke Penjara Sg Buloh. Bagi para pemfitnah yang zalim dan munafik itu, kita yakin Allah akan membalas tipu daya mereka itu dengan menjadikan mereka jatuh terhina di hadapan rakyat.

Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan kepada saya sejak saya terjun ke medan perjuangan sebagai Ketua Pemuda pada tahun 1999, bertanding dalam pilihanraya dua kali dan memimpin Cabang Bagan Datoh sejak tahun 2004 sehingga kini. Atas kepercayaan dan sokongan ikhlas yang saudara-saudari berikan, saya berdoa agar semuanya dibalas dengan ganjaran oleh Tuhan.

Selamat Bermesyuarat Agung dan Melaksanakan Pemilihan

Monday, January 18, 2010

BERMAIN DENGAN EKSTRIMISME

Oleh: Madzi Hasan

Sejak saya mula mengikuti perkembangan politik sejak sekolah rendah pada pertengahan tahun 80-an, antara tuduhan utama UMNO terhadap PAS sejak sekian lama adalah PAS parti ekstremis. Jumud, fanatik, pelampau malah pengganas adalah antara imej yang sentiasa dilabelkan kepada PAS dan pemimpin-pemimpinnya.

Drama-drama Melayu di televisyen seringkali membawa imej orang berserban, berkopiah putih dan berjubah yang anti-kerajaan, berfikiran sempit dan ekstrim. Allahyarham Ibrahim Libya diangkat sebagai contoh utama elemen pelampau agama dalam PAS.

Dengan takdir Allah, tiada siapa yang menyangka pada hari ini, UMNO yang selama ini kononnya menjunjung kesederhanaan dan anti-ekstrimisme agama sudah bertukar tempat dengan PAS. Kenapa? Sebab setelah segala kekuatan semakin pudar, nampaknya talian hayat mereka hanyalah tinggal permainan sentimen kaum dan agama.

‘Middle turf’ yang selama ini menjadi posisi strategik UMNO dalam mengemudi politik negara sudah mula ditinggalkan. Identiti sebenar pemimpin-pemimpin UMNO sudah terdedah, iaitu ianya adalah satu kelompok yang sanggup bermain dengan ekstrimisme apabila tertekan.

Kalau mereka melaungkan sentimen Melayu, itu tidaklah membimbangkan sangat. Tetapi apabila si penyangak dan si jahil memakai topeng agama, yang amat malang adalah Islam dan seluruh umat Islam. Mengheret kepala lembu dan membakar gereja adalah manifestasi kejahilan yang menjatuhkan maruah Islam.

‘Ekstrimisme terpimpin’ yang pada mulanya disokong dan diberi laluan mudah oleh pihak berkuasa telah gagal. Bermain dengan ekstrimisme adalah seperti bermain api. Kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan.

Mereka merancang, Allah jua merancang. Tetapi, perancangan Allah tiada tandingan.

Thursday, January 7, 2010

Hari Pertama

Oleh: Madzi Hasan

Salah satu pengalaman yang akan terus diingat bagi kebanyakan orang ialah pengalaman hari pertama di sekolah. Tepat tiga puluh tahun yang lalu, pada 7hb Januari 1980, saya memulai hari baru dengan memasuki alam persekolahan.

Hari ini, curahan memori hari pertama tersebut masih boleh terbayang di dalam minda saya. Antaranya ialah:
- Bangun dari tidur dan mandi dalam kesejukan
- Abah saya menyikatkan rambut saya untuk hari pertama ke sekolah
- Abah saya menemankan saya naik bas sekolah Ipin (Bas Ipin adalah bas sekolah yang terpanjang pada masa itu)
- Masuk ke kelas 1 Merah dengan Cikgu Hafizah yang nampak garang sebagai guru kelas
- Duduk diam-diam di barisan belakang, kerana saya tidak kenal seorang pun murid-murid di situ dan saya juga tidak pernah masuk tadika

Semua orang ada kenangan hari pertamanya. Mungkin banyak orang sudah melupakannya. Tapi tidak bagi saya, kerana nama saya adalah 'ma dzi" yang bermakna "the past" atau "masa lalu".

Sunday, January 3, 2010

Selamat Tinggal 2009

Oleh: Madzi Hasan

Kata orang tahun 2009 adalah tahun yang menarik. Elok juga tahun itu dipanggil Tahun Katak walaupun dalam kalendar Cina tidak wujud tahun katak. Kita menyaksikan enam ekor katak menjadi selebriti dan sampah sekaligus. Tempat-tempat yang melahirkan katak-katak itu ialah Bota, Behrang, Changkat Jering, Jelapang, Lunas dan Pelabuhan Klang.

Selain menjadi negeri yang paling banyak katak, pada tahun 2009 negeriku Perak menjadi sebuah negeri kartun. Kartunis Zunar memproklamirkan gelaran baru bagi negeri Perak iaitu Perak Darul Kartun (sebarang surat-menyurat ke pejabat SUK mestilah menggunakan istilah Perak Darul Kartun pada alamatnya atau surat anda tidak akan dilayan).

Dalam dunia kartun, segala-galanya yang bertentangan dengan hukum-hakam yang waras boleh berlaku. Kartun boleh jatuh bangunan, dilanggar lori, dibom dan tidak mati-mati. Pendek kata, dalam dunia kartun semua yang mustahil boleh terjadi. Itulah yang terjadi di Perak sejak Februari 2009. Falsafah "politics is the art of possible" telah menguasai mereka yang berkuasa hingga akhirnya tidak sedar yang mereka sudah menjadi kartun.

Menjelang tahun 2010, cukuplah satu tahun tujuh bulan saya, isteri dan anak-anak berhijrah meninggalkan kota Kuala Lumpur. Setelah 17 tahun menetap di Kuala Lumpur (sejak masuk UIA pada tahun 1991), suasana tenang dan aman di bandar Ipoh memang sudah lama dinanti-nanti. Tidak ada lagi traffic jam dan lain-lain ragam dan serabut kehidupan di Kuala Lumpur yang sudah menjadi penjara jiwa bagi saya. Saya bersyukur dengan keputusan saya berhijrah kembali ke Perak. Dan pada tahun baru ini, saya yakin insyaAllah, dalam apa juga niat baik yang saya lakukan Tuhan tidak akan mengecewakan saya.

Wednesday, December 9, 2009

PAM TIDAK DIBAIKI PUNCA BANJIR

SINAR HARIAN 8 Disember 2009

RUNGKUP - Penyelenggaraan dan pemantauan yang tidak dilakukan secara kerap terhadap kemudahan sedia ada bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik menyebabkan banjir buruk melanda beberapa kawasan di sini.

Pekebun kecil, Tajuddin Ismail, 54, berkata, masalah banjir di beberapa kawasan sekitar Kampung Rungkup Kecil, Kampung Simpang Tiga dan Kampung Sungai Nipah Darat berpunca daripada pam air di Simpang Empat Rungkup yang tidak berfungsi dengan baik.

Menurutnya, hanya satu pam air sahaja berfungsi untuk menyedut air keluar dari kawasan kediaman dan kebun penduduk manakala dua lagi tidak berfungsi.

“Inilah dilema penduduk di sini yang terpaksa menghadapi banjir dan menanggung kerugian apabila tanaman musnah akibat air bertakung dalam kawasan kebun.

“Tiada gunanya bantuan benih pisang oleh kerajaan jika ia tidak mampu membantu menambah pendapatan, malah jika masalah ini tidak diselesaikan, kami akan terus berhadapan masalah banjir,” katanya kepada :Sinar Harian: ketika ditemui semasa meninjau keadaan pam air di Simpang Empat Rungkup, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Perak yang juga Ketua Cabang Bagan Datoh, Madzi Hasan.

Tajuddin berkata, kelemahan dari sudut penyelenggaraan menyebabkan kemudahan yang disediakan untuk mengatasi masalah banjir tidak dapat berfungsi dengan baik dan rosak.

“Sebelum ini, masalah kunci air di Bagan Sungai Burung yang tidak diselenggarakan dengan baik berjaya diatasi dengan bantuan pihak bomba dan penyelamat bagi membersih serta memastikan kunci air itu berfungsi semula,” katanya.

Katanya, masalah itu begitu dikesali kerana jabatan sepatutnya bertanggungjawab tidak menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Sementara itu, Ketua Kampung Pakatan Rakyat (PR) Anuar Zainal Abidin, 54, berkata, beliau secara peribadi begitu kecewa dengan tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang gagal menyelenggarakan dengan baik kemudahan sedia ada.

Menurutnya, jika pam itu diselenggarakan dengan baik, masalah banjir yang melanda sekitar kawasan itu tidak seteruk mana kerana air mampu di pam keluar dari kawasan tanaman dan kediaman.

“JPS yang sedia maklum dengan masalah ini seharusnya bertindak segera dengan membaiki pam yang tidak berfungsi sebelum kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.

Wednesday, December 2, 2009

Lakonan Hidup

Oleh: Madzi Hasan

"Nixon is the kind of politician who would cut down a redwood tree, then mount the stump for a conservation speech"

"Nixon adalah dari jenis ahli politik yang akan menebang pokok, kemudian naik atas tunggulnya untuk berceramah tentang pemeliharaan alam sekitar."

Kata-kata di atas keluar dari mulut Adlai Stevenson, calon Parti Demokrat untuk kerusi Presiden Amerika Syarikat pada dekad 50-an. Sejarah Amerika akhirnya membuktikan Presiden Nixon akhirnya tersungkur dari kerusi Presiden AS bersama-sama sifat kepura-puraannya. Uniknya Nixon ialah, walau jutaan manusia boleh nampak dengan jelas lakonannya yang memualkan, dia akan terus berlakon dengan selamba. Bagi mereka yang membenci politik, Nixon adalah contoh ulung betapa jeleknya manusia yang digelar ahli politik.

Beberapa hari yang lalu, sekembalinya saya dari satu mesyuarat khas untuk menyelesaikan krisis kepimpinan di sebuah cabang parti yang bermasalah, terngiang-ngiang di telinga saya sebuah lagu lama dendangan Tan Sri SM Salim. Liriknya adalah seperti berikut:

Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Kukira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakonan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda

Apa yang berlaku dalam mesyuarat tersebut dan lagu berjudul Lakonan Hidup di atas mengingatkan saya pada realiti dunia politik, tak kira peringkat tinggi atau bawah. Sanggup berlakon, mengaku diri sebagai pejuang parti, tapi rupanya sudah dianugerahkan oleh pihak musuh dengan habuan hebat - menjadi Ahli Majlis Daerah. Bukan seorang tetapi tiga orang, dan ketiga-tiga mereka ini masih boleh datang ke mesyuarat Jawatankuasa Cabang dengan muka sardin lalu bersyarah tentang sejarah perjuangan.

Saya telah melayari laman web Majlis Daerah yang berkenaan. Saya beristighfar bila mendapati memang betullah wajah-wajah mereka terpapar sebagai Ahli-ahli Majlis Daerah lantikan parti lawan.

Nixon dan tiga badut kecil yang disebut di atas sebenarnya tidaklah menghairankan. Begitulah tabiat dan watak manusia di segala zaman. Tapi bukan itu yang jadi pedoman. Pedoman ialah orang-orang yang tidak banyak jumlahnya, yang benar-benar ikhlas. Cahaya merekalah yang akan bersinar selama-lamanya. Moga-moga diri kita termasuk golongan yang sedikit itu. Amin!

Tuesday, November 10, 2009

TAHUN UNTUK BERKONVENSYEN?

Oleh: Madzi Hasan

Sebagai aktivis parti, bagi saya tahun ini adalah tahun yang paling banyak konvensyen yang dianjurkan di pelbagai peringkat. Pada 18 Julai 2009, KEADILAN Perak menganjurkan Konvensyen KEADILAN Perak di Hotel Angsoka Teluk Intan. Terpaksa dibuat di Hotel Angsoka kerana tempahan untuk Dewan Majlis Perbandaran dibatalkan oleh pihak yang berkuasa di MPTI walaupun deposit sewa sudah dibayar. Begitulah padahnya bila sudah tiada kuasa.

Sebulan sebelum itu, kita sudahpun menghadiri Kongres Nasional Khas di Bangi untuk meminda Perlembagaan parti. Dalam Kongres Khas itu, saya berucap sebagai pembahas mewakili Perak. Hujah saya ialah betapa pentingnya Majlis Pimpinan Negeri betul-betul menjadi badan teraju yang efektif dan bertindak sebagai 'state government in-waiting', kerana kita tidak mahu nantinya hanya memegang teraju di Putrajaya, tetapi terlepas banyak negeri ke tangan orang lain.

Di penghujung Oktober, pada 31hb, Pakatan Rakyat Perak pula berkonvensyen di sebuah hotel mewah di ibu negeri Perak. Pakatan Rakyat Perak sekali lagi membuktikan yang ianya adalah model ikutan bagi negeri-negeri lain. Sememangnya, tragedi cepat mematangkan manusia, dan tragedi Februari menjadikan pimpinan dan ahli-ahli KEADILAN, PAS dan DAP di Perak cukup matang untuk menghargai nilai kebersamaan.

Saya diminta berucap untuk membahas kertas kerja Dato' Seri Nizar. Setelah mendengar keluhannya bagaimana ketika berkuasa dulu dia tidak mempunyai upaya untuk hatta memecat SUKnya sendiri, maka apa yang dapat saya rumuskan ialah memerintah kerajaan negeri ini rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Ianya terjadi begitu kerana sistem sedia ada yang melonggokkan kuasa semahu-mahunya kepada kerajaan pusat. Kuasa eksekutif yang tinggal untuk menteri-menteri besar dan exco-exconya amat sedikit. Hanya ada satu cara untuk mengubahnya iaitu dengan kita mengambil alih Putrajaya.

Dua minggu selepas Konvensyen itu, pada 14hb nanti, satu lagi Konvensyen akan dianjurkan oleh KEADILAN Perak. Kali ini ianya adalah Konvensyen 10 Tahun KEADILAN, dan setiap negeri akan mengadakannya. Temanya ialah 'Menggilap Harapan Rakyat'. Bagi saya, barangkali tema yang lebih tepat ialah 'Mengembalikan Harapan Rakyat'. Harapan rakyat pada tanggal 8 Mac 2008 telah dikecewakan oleh lima ekor katak (tiga di Perak, satu di Kedah dan satu di Selangor) yang langsung tidak ada perasaan tentang erti amanah.

Harapan itu menjadi lebih terjejas dengan wakil-wakil rakyat yang tidak buat kerja sehingga terpaksa dipaksa letak jawatan (sepertimana di Penanti). Harapan itu semakin pudar dengan perbalahan dan perebutan inter-parti dan intra-parti. Walau bagaimanapun, dalam politik segalanya boleh berlaku, begitulah juga dalam hal mengembalikan harapan. Tetapi menggilap sahaja mungkin tidak cukup. Yang memimpin dan yang dipimpin mestilah betul-betul berkualiti dan 'ori', kerana barang palsu tetap palsu walau digilap sekuat manapun.

Bulan Disember nanti, satu lagi Konvensyen sudah menanti iaitu Konvensyen Pakatan Rakyat peringkat kebangsaan yang akan dibuat di Shah Alam. Rakyat masih memerhati. Pada kacamata rakyat terbuktilah sudah bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bukanlah malaikat. Tetapi setakat ini mereka tidaklah mencapai tahap jin dan syaitan yang kini bergentayangan di dalam parti UMNO dan sekutu-sekutunya.

Sunday, September 27, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Oleh: Madzi Hasan

Ramadhan tahun ini telah berlalu. Bagaikan pelajar-pelajar yang baru habis menjalani peperiksaan, maka kita pun 'celebrate'. Lega kerana tiada lagi perlu melalui disiplin dan latihan yang ketat dan kadang-kadang menyeksakan.

Ramadhan adalah proses latihan dan ujian tahunan yang ditetapkan oleh Allah. Adakah setelah berpuasa penuh selama 20, 30 atau 40 tahun, kualiti kita sebagai seorang hamba Tuhan telah meningkat dari tahun ke tahun. Sepertimana pelajar yang mengulang-ulang ambil peperiksaan SPM 10 kali, apa maknanya jika selepas 10 kali ambil periksa masih juga lulus dengan gred 3.

Ya bukan mudah untuk lepas ujian yang diberi oleh Tuhan. Tujuan puasa itu ialah "laallakum tattaqun" - supaya menjadi orang-orang bertaqwa. Makna taqwa itupun kita kena tahu dulu. Saya baru habis membaca buku bertajuk Pesan-Pesan Taqwa oleh Allahyarham Nurcholish Majid. Bagi saya buku itu memberi penjelasan yang amat jitu tentang makna "taqwa".

InsyaAllah, selepas berakhirnya Ramadhan tahun 1430 Hijrah ini, kita akan menjadi orang yang lebih sabar, lebih amanah, lebih istiqamah.. dan puncak kepada semuanya, lebih bertaqwa.

Tuesday, May 5, 2009

CAMRY DAH LELONG, BILA PULA NAK TARIK BALIK HAKMILIK KEKAL KAMPUNG BARU DAN RPT?


Oleh: Madzi Hasan

PERAK NOMBOR 1. Tahniah kepada Kerajaan Perak pimpinan Zambry kerana menjadi kerajaan pertama dalam dunia yang melelong aset kerajaan yang baru berusia tidak sampai 4 bulan. Memang satu tindakan bangang yang nampaknya cuba menjiwai semangat ‘Perak No. 1’.

Pembayar-pembayar cukai di Negeri Perak Darul Ridzuan terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi susutnilai kereta-kereta Camry yang masih belum digunapakai itu.

Itu semua tidak mengapa kerana yang penting, apa juga keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat mesti dibatalkan oleh Kerajaan Zambry.

Tetapi adakah Zambry dan exco-exconya sudah lupa bahawa isu pembelian Camry bukanlah isu utama sewaktu Nizar memerintah dulu. Camry hanyalah isu sampingan.

SATU MALAYSIA tahu bahawa isu paling panas dan paling bermati-matian mereka tentang ialah pemberian hakmilik kekal kepada penduduk-penduduk kampung baru dan kampung tersusun (RPT). Takkan Zambry buat-buat lupa pulak.

Nizar beri tanah kekal pada Cina! Agenda DAP! Bukankah itu bunyinya jerit-pekik Zambry dan gengnya dulu?

Kalau Zambry sanggup menanggung rugi dengan menjual brand-new Camry demi untuk membuktikan yang mereka tidak setuju benar dengan polisi Pakatan Rakyat, maka bilakah pula polisi pemberian hakmilik kekal ini akan dibatalkan? Dan adakah mana-mana geran kekal yang sudah diberi akan ditarik balik?

Ingat, dulu Pak Lah selalu mengungkapkan kata-kata “walk the talk”. Sebagai orang kesayangan Pak Lah, Zambry mesti kotakan janjinya sebagaimana saranan bekas bosnya itu.

Mana dia Gagasan Melayu Perak? Mana dia pejuang-pejuang Melayu yang berhempas pulas menentang dasar ini dulu? Cepatlah hantar memorandum atau buat demonstrasi depan pejabat Zambry supaya polisi ini cepat-cepat dibatalkan. Kuasa dah ada di tangan orang kome, tunggu apa lagi?

Saya cabar Zambry untuk batalkan dan tarik balik pemberian hakmilik kekal kepada kampung baru dan kampung tersusun. Aiyoo! Ada berani ka?

Monday, May 4, 2009

DEBARAN SIDANG DUN - KISAH 41 TAHUN LALU


Oleh: Madzi Hasan

Rampasan kuasa di Perak pada hari ini boleh dibandingkan dengan apa yang berlaku 41 tahun dahulu di Kelantan. Aktor-aktor utama dalam peristiwa tahun 1968 itu semuanya telah tiada di alam fana ini. Tetapi peristiwa tersebut akan tercatat sebagai satu kegagalan percubaan UMNO untuk menumbangkan sebuah kerajaan negeri dan menjadi bukti betapa pentingnya institusi Dewan Undangan Negeri dalam menentukan keabsahan (legitimasi) sesuatu kerajaan.

Pada tahun 1961, Kerajaan PAS di Terengganu hanya mampu bertahan selama 2 tahun apabila ia ditumbangkan oleh undi tidak percaya di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu. Usul undi tidak percaya tersebut telah disokong oleh beberapa ADUN PAS (termasuk Speaker Dewannya sendiri) dan ADUN Parti Negara yang telah khianat dan melompat menyertai UMNO.

Kejayaan di Terengganu tersebut telah memberi harapan kepada UMNO Negeri Kelantan untuk menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan dan peluang itu tiba pada tahun 1968. Menteri Besar Kelantan pada ketika itu ialah Dato’ Mohd Asri Muda, manakala Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan pula tidak lain tidak bukan ialah Timbalan Perdana Menteri sendiri iaitu Tun Abdul Razak. Tun Abdul Razak berazam untuk menumbangkan kerajaan Negeri Kelantan dengan kaedah lompat-melompat dan peluang itu datang apabila mereka mengenalpasti beberapa orang ADUN yang lemah.

Pada suatu hari Jumaat, lima orang ADUN PAS termasuk dua orang Exco dan Speaker Dewan telah ditahan polis di beberapa sekatan jalanraya. Mereka telah dibawa ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di sebuah banglo di Jalan Pekeliling. Selama sebulan mereka disembunyikan, dan dalam tempoh itu mereka telah dipujuk dengan pelbagai cara untuk meninggalkan PAS dan menyertai UMNO. Akhirnya, kelima-lima mereka telah membuat perisytiharan keluar dari PAS dan masuk UMNO. Semua akhbar, televisyen dan radio pada masa itu telah menyiarkan berita yang hangat itu. Seluruh negara gempar dan semua orang tahu bahawa Kerajaan PAS Kelantan hanya menunggu masa sahaja untuk tumbang.

Tiga atau empat hari sebelum Dewan Undangan Negeri bersidang, kelima-lima orang itu dibawa pulang ke Kelantan dengan kawalan ketat. Mereka telah dihantar pulang ke rumah masing-masing yang dikawal rapi. Walau bagaimanapun, salah seorang daripada mereka yang bernama Ustaz Abdul Rahman Salleh telah berjaya mencuri keluar melalui pintu belakang rumahnya dan menemui Menteri Besar. Beliau menyatakan hasratnya untuk kembali kepada PAS kerana perisytiharan keluar parti yang dibuatnya tempohari adalah dalam keadaan terpaksa. Malam itu juga beliau balik ke rumahnya, juga secara senyap-senyap melalui pintu belakang.

Pada pagi hari sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri, kawasan di hadapan Istana Balai Besar Kota Bharu telah penuh oleh gelombang manusia. Penyokong-penyokong UMNO tidak dapat menyembunyikan keghairahan mereka dengan membawa sepanduk-sepanduk yang tertulis kalimat tentang pertukaran kerajaan.

Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Semua ahli dewan termasuk Speaker mengambil tempat masing-masing. Pada ketika itu, Ustaz Abdul Rahman Salleh yang telah duduk di kerusi pembangkang (UMNO) bangun dari kerusinya dan melangkah mengambil tempat duduknya di pihak kerajaan. Serentak dengan itu, surat kenyataan beliau untuk menyertai semula PAS telah diedarkan. Setelah doa selesai dibaca dan minit mesyuarat lalu disahkan, Speaker telah menangguhkan persidangan Dewan.


Dalam tempoh penangguhan itu, dua orang lagi ADUN yang telah melompat itu berjaya dibawa ke JKR 10 iaitu kediaman rasmi Menteri Besar. Sepertimana Ustaz Abdul Rahman Salleh, mereka berdua ini juga berhasrat untuk menyertai PAS semula. Maka pada petang itu juga, tiga orang ADUN yang telah melompat itu membuat perisytiharan di hadapan media bahawa mereka masih wakil rakyat PAS. Dengan itu, maka gagallah percubaan UMNO untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Kerajaan Kelantan dan Kerajaan PAS Kelantan terus memerintah untuk selama 10 tahun lagi sehingga tahun 1978.

Empat dekad yang lalu, walaupun UMNO menggunapakai kaedah culik, ugut dan pujuk, Tun Razak sekurang-kurangnya masih menghormati Perlembagaan dan institusi Dewan Undangan Negeri. Beliau sanggup menunggu Dewan Undangan Negeri bersidang untuk menumbangkan kerajaan negeri melalui kaedah yang sah iaitu usul undi tidak percaya. Pada tahun 2009, anak beliau, iaitu Najib Razak langsung tidak menghormati ‘due process of law’ sebaliknya merampas kuasa kerajaan negeri Perak dengan cara yang amat menjijikkan. Dalam soal ini, terbukti bahawa bukan saja ‘bapa borek anak rintik’ tetapi si anak rupanya lebih ‘ganas’ daripada ayahandanya.


Wednesday, January 21, 2009

Kenyataan Media Tentang Arahan Zahid Hamidi Kepada Agensi Kerajaan Pusat Di Perak

Dua minggu yang lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan berunsur fitnah apabila beliau mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Perak mengunci dewan-dewan yang digunakan untuk 700 Tadika KEMAS di negeri itu. Setelah mendapat amaran untuk disaman oleh Kerajaan Negeri atas dakwaan palsu tersebut, beliau sekali lagi menyerlahkan niat jahatnya apabila akhbar-akhbar hari ini melaporkan kenyataannya yang antara lain adalah seperti berikut:

- Tandatangan dan cop rasmi Pengerusi JKKK (Ketua Kampung) dan Penghulu di Negeri Perak tidak akan diiktiraf oleh agensi Kerajaan Pusat;
- Hanya tandatangan dan cop rasmi JPPP sahaja yang akan diiktiraf oleh semua agensi Kerajaan Pusat;
- Ketua jabatan agensi Kerajaan Pusat dilarang menghadiri mesyuarat rasmi anjuran Kerajaan Negeri, kecuali bagi beberapa jabatan tertentu sahaja;
- Antara mesyuarat yang dilarang untuk dihadiri tersebut ialah Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Daerah dan mesyuarat yang dipanggil oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Arahan yang sangat tidak rasional ini sekali lagi menggambarkan sikap pemimpin-pemimpin BN yang membelakangkan keluhuran Perlembagaan dan tatacara yang telah sedia diiktiraf untuk sekian lama. Institusi Ketua Kampung dan Penghulu adalah salah satu daripada institusi yang paling lama dalam sejarah Kesultanan Melayu termasuk di Negeri Perak. Perlantikan Ketua Kampung dan Penghulu dibuat dengan perkenan Sultan sebagai simbol kedaulatan raja dan penurunan kuasa raja di setiap daerah, mukim dan kampung. Di bawah payung istana, institusi Ketua Kampung dan Penghulu telah memainkan peranan yang penting dalam melicinkan pentadbiran dan memupuk perpaduan. Justeru tindakan Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak yang tidak mengiktiraf autoriti yang terdapat pada institusi Ketua Kampung dan Penghulu boleh disifatkan sebagai satu penghinaan dan penderhakaan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Di sebalik retorik untuk menjaga Ketuanan Melayu, UMNO sendirilah yang langsung tidak menunjukkan penghormatan kepada cabang-cabang di dalam institusi Kesultanan Melayu.

Larangan kerjasama antara agensi pusat dan negeri adalah amat bertentangan dengan prinsip dan semangat federalisme seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Federalisme diasaskan kepada kewujudan dua peringkat kerajaan iaitu Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang mempunyai bidangkuasa dan hak masing-masing serta saling bekerjasama untuk kepentingan rakyat. Dalam amalan demokrasi yang sihat, pertukaran kerajaan yang dipilih oleh rakyat, sama ada di peringkat pusat atau negeri, adalah perkara biasa yang tidak akan menjejaskan semangat federalisme. Tetapi di negeri Perak, pemimpin-pemimpin kerajaan pusat tidak henti-henti berusaha untuk menafikan, menceroboh dan mengganggu bidangkuasa dan hak kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, agensi-agensi Kerajaan Pusat mestilah bekerjasama dengan agensi dan institusi Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat dan keutuhan jentera pentadbiran negara. Sejak mengambil alih kuasa, Kerajaan Negeri Perak bersikap amat terbuka dengan menjemput semua ADUN dan Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) yang diadakan setiap bulan. Walau bagaimanapun, Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Ahli Parlimen Bagan Datok tidak pernah menghadiri mesyuarat JKTD tersebut walaupun sekali. Sikap seperti ini menunjukkan betapa jahilnya pemimpin-pemimpin UMNO dalam memahami tanggungjawab asas kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat melalui kerjasama antara pusat dan negeri.

Adalah amat mengejutkan sekali, ketika seluruh dunia berdepan dengan masalah kemelesetan ekonomi, Kerajaan Pusat dengan sengaja memburukkan lagi prospek ekonomi rakyat Perak dengan tidak bekerjasama dalam Majlis Tindakan Ekonomi peringkat negeri dan daerah. Adakah pemimpin UMNO memang suka melihat ramai rakyat Perak hilang pekerjaan, menjadi miskin dan gulung tikar di dalam zaman kegawatan ekonomi ini? Masalah ekonomi semasa adalah satu keadaan yang amat genting yang mana pemimpin-pemimpin politik sepatutnya mengenepikan perbezaan politik demi menjaga periuk nasi rakyat.

Akhir sekali, kenyataan dari Menteri Agama Islam ini adalah amat mengecewakan kerana ia adalah umpama racun yang menyemarakkan perpecahan di kalangan umat Islam di kampung-kampung. Pemimpin yang sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO dulu pernah melaungkan slogan wahdatul fikr (kesatuan fikiran) dan wahdatul amal (kesatuan tindakan), kini rupa-rupanya adalah pencinta perpecahan. Di manakah sikap lapang dada (tasamuh) seorang pemimpin dalam melayani perbezaan dan kepelbagaian di dalam kehidupan umat? Janganlah kerana hendak mencari populariti ketika musim pemilihan parti, maka perpaduan dan kerukunan hidup di kalangan umat dikorbankan.


Madzi Hasan
Ketua Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Bagan Datoh

Monday, January 19, 2009

Isu Hakmilik Kekal

Madzi Hasan
Raja Muda Perak, DYTM Raja Dr Nazrin Shah, dalam ucapannya di hadapan pemimpin-pemimpin mahasiswa pada tahun lalu telah mengingatkan kita supaya membeli, membaca dan menghayati Perlembagaan negara ini. Salah satu prinsip yang paling penting di dalam Perlembagaan negara kita ialah kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan. Lima dekad yang lalu, bapa-bapa kita telah meletakkan asas penubuhan negara ini di atas prinsip federalisme.

Takrifan yang paling ulung tentang federalisme diberikan oleh seorang pakar perlembagaan yang bernama K.C. Wheare. Menurut Wheare, federalisme diasaskan kepada kewujudan dua peringkat kerajaan. Dua peringkat kerajaan ini pula hendaklah dihadkan kepada bidangkuasa masing-masing dan yang satu hendaklah bebas daripada campurtangan kerajaan yang satu lagi.

Dalam amalan demokrasi yang sihat, pertukaran kerajaan yang dipilih oleh rakyat, sama ada di peringkat pusat atau negeri, adalah perkara biasa yang tidak akan menjejaskan prinsip dan semangat federalisme. Tetapi di negara ini, apabila Barisan Nasional tumbang di lima buah negeri, realiti tersebut amat sukar untuk diterima oleh pemimpin-pemimpinnya. Ini kerana selama ini mereka telah menanamkan satu kepercayaan khurafat dan karut di kalangan rakyat bahawa hanya Barisan Nasional sahaja yang boleh memerintah dan membentuk kerajaan.

Isu pemberian hakmilik kekal di Negeri Perak adalah satu lagi episod yang akan menguji keluhuran prinsip federalisme yang termaktub di dalam Perlembagaan. Demi kepentingan politik yang sempit, pemimpin-pemimpin kerajaan pusat sedang berusaha untuk menafikan, menceroboh dan mengganggu bidangkuasa dan hak kerajaan-kerajaan negeri terbabit.

Bidangkuasa kerajaan negeri sebenarnya jauh lebih kecil berbanding bidangkuasa kerajaan pusat. Itulah sebabnya juga pendapatan kerajaan negeri amat terbatas. Sekaya-kaya Negeri Selangor, pendapatan kerajaan negeri Selangor hanyalah sama nilainya dengan 1% sahaja daripada pendapatan kerajaan pusat.

Salah satu bidangkuasa kerajaan negeri yang paling penting dan sekaligus menjadi punca pendapatan utamanya adalah soal tanah. Soal tanah dengan jelasnya diletakkan di bawah bidangkuasa negeri iaitu di dalam Senarai II, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan. Kanun Tanah Negara 1965 memperincikan lagi kuasa negeri di dalam soal tanah sehingga boleh dikatakan pihak berkuasa negeri memiliki kuasa mutlak.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri telah cuba untuk menggunakan kuasa kerajaan pusat untuk mengganggu tindakan Kerajaan Negeri Perak dalam memberi hakmilik kekal kepada penduduk-penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Kampung Baru. Menurut Dato’ Seri Najib Tun Razak, tindakan kerajaan negeri Perak mestilah dirujuk kepada Majlis Tanah Negara terlebih dahulu. Ini menggambarkan seolah-olah Majlis Tanah Negara mempunyai kuasa yang melampaui kuasa negeri dalam hal ehwal tanah.

Majlis Tanah Negara ditubuhkan di bawah Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan untuk menjadi landasan kerjasama di antara kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri. Peranannya adalah untuk merumuskan polisi berkenaan hal ehwal tanah. Walau bagaimanapun, kuasa eksekutif kerajaan negeri dalam soal tanah tetap tidak boleh dipertikai. Majlis Tanah Negara tidak mempunyai kuasa untuk mengambil alih atau memaksa negeri-negeri dalam melaksanakan kuasa mereka sebagaimana yang telah dihuraikan dengan jelas dalam Kanun Tanah Negara 1965. Beberapa kes yang telah diputuskan di mahkamah turut mengesahkan kuasa eksklusif pihak berkuasa negeri dalam perkara ini.

Anehnya, selama ini Majlis Tanah Negara hanya memejamkan mata apabila kerajaan-kerajaan negeri menukar status tanah pajakan kepada hakmilik kekal. Di Pulau Pinang, sebidang tanah tebusguna berstatus pajakan yang asalnya berharga RM54 juta telah ditukar kepada hakmilik kekal oleh kerajaan negeri yang terdahulu. Hasilnya, tauke-tauke pemaju hartanah tersebut akan menambah nilai hartanah mereka kepada berbilion ringgit. Kerajaan Barisan Nasional amat teragak-agak untuk memberi keuntungan kepada rakyat tetapi amat pantas jika ia menguntungkan pemaju-pemaju dan jerung-jerung yang rakus membaham komisen. Apabila kerajaan negeri Perak ingin memberikan keuntungan terus kepada rakyat yang seramai hampir 150,000 pemilik, ianya cuba disekat. Dari jumlah itu, sebanyak 102,000 atau hampir 70% adalah untuk hakmilik Rancangan Perkampungan Tersusun yang mana rata-rata penduduknya adalah dari kaum Melayu.

Kenapakah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional amat payah sekali untuk menghormati semangat federalisme? Asas kepada federalisme adalah penghormatan kepada bidangkuasa dan hak negeri-negeri. Harus diingat, pada suatu masa dahulu, negeri-negeri ini adalah negeri-negeri yang berasingan dan berdaulat, sebelum mereka bersetuju untuk membentuk sebuah persekutuan.

Semenjak merdeka, sudah beberapa kali kerajaan Barisan Nasional mengkhianati prinsip federalisme dengan kaedah membuli dan sabotaj. Pembayaran geran kewangan kepada negeri-negeri yang tidak diperintah oleh Barisan Nasional dilambat-lambatkan. Institusi yang bertindan dan menyaingi institusi kerajaan negeri telah sengaja ditubuhkan. Contoh terbaru mengenainya ialah kewujudan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). Bidangkuasa ke atas air, iaitu satu lagi sumber hasil mahsul yang amat dicemburui, juga sedang cuba diambil alih melalui Syarikat Penguruan Aset Air Berhad (PAAB). Contoh yang paling klasik adalah kemungkiran kerajaan Barisan Nasional dalam pembayaran royalti minyak kepada negeri Terengganu setelah negeri itu diperintah oleh PAS.

Sampai bilakah keadaan ini akan berakhir? Barangkali, selain daripada pingat-pingat kebesaran, selepas ini Raja-raja Melayu seharusnya menghadiahkan senaskhah Perlembagaan Persekutuan kepada setiap pemimpin politik untuk dibaca, difahami dan dihayati.

Friday, January 2, 2009

Falsafah Keadilan

Madzi Hasan


“Tapi ini tak adil!” Berapa kerapkah kita mendengar perkataan tersebut? Kita boleh mendengarnya di tadika, di dalam bilik darjah, di rumah, di padang dan di taman. “Kenapa adik dapat sikit, kakak dapat banyak?” desak anak kecil yang baru berusia 6 tahun.

Kesedaran tentang konsep keadilan bermula sejak awal. Walaupun kanak-kanak berusia 6 tahun mungkin tidak dapat memahami makna keadilan tetapi dia boleh merasakan bila dia dilayan dengan tidak adil. Sebenarnya keadaan ini bukan hanya berlaku kepada kanak-kanak. Orang dewasa juga, melainkan ahli-ahli falsafah, sukar untuk menghuraikan makna keadilan. Tetapi, sepertimana juga kanak-kanak, desakan perasaan untuk keadilan hanya akan menyerlah apabila ketidakadilan berlaku.

Apakah sebenarnya keadilan? Apakah ia sebenarnya, yang dengan ketiadaannya, akan mewujudkan laungan dan desakan yang menggegarkan? Ahli-ahli falsafah zaman silam telah meletakkan keadilan sebagai nilai tertinggi atau kebaikan teragung. Hari ini, konsep keadilan terus menjadi tema yang penting terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Perkataan keadilan juga telah dijadikan nama kepada parti-parti politik termasuk di Malaysia.

Secara ringkas, keadilan adalah suatu keadaan yang dimahukan oleh semua orang. Semua orang mendakwa ia berhak untuk keadilan. ‘Keadilan’ menjadi satu label yang amat berguna untuk memperkukuhkan apa juga matlamat yang ingin mereka capai. Sejak beribu-ribu tahun, setiap protagonis di dalam setiap konflik, peperangan, revolusi, tindakan mahkamah, pilihanraya dan pertengkaran kecil cenderung untuk membuktikan bahawa keadilan berada di pihak mereka.

Oleh itu, adakah keadilan tidak lebih daripada satu simbol yang boleh membangkitkan emosi, sebagaimana satu hentakan di meja apabila kita marah? Adakah ia hanya satu alat yang boleh memberikan gambaran yang besar kepada satu objektif yang kecil? Dalam Revolusi Perancis, rakyat melaungkan “Keadilan!” sedangkan perkara sebenar yang mereka mahukan adalah “Roti!”.

Sungguhpun demikian, pastilah keadilan berbeza daripada roti, kerana ia bukanlah satu objek tetapi satu idea. Sebagaimana idea-idea tentang Kebenaran, Kebebasan dan Keberanian, ia tergolong sebagai salah satu nilai yang menjadi asas kepada apa yang dinamakan idealisme. Hampir semua agama dan semua tamadun mengiktiraf kedudukan keadilan sebagai salah satu nilai yang ideal. Dari idea keadilan muncullah pula undang-undang sebagai alat untuk mencapai dan mempertahankan keadilan.

Di dalam buku A Theory of Justice, seorang pakar jurispruden (jurispruden ialah ilmu falsafah tentang undang-undang) yang bernama John Rawls menyatakan keadilan adalah sesuatu yang wujud di dalam masyarakat adil. Masyarakat yang adil adalah satu masyarakat yang mana setiap orang bersetuju untuk menjadi ahlinya jika diberi pilihan. Dan pilihan itu pula mesti dibuat dalam keadaan setiap orang tersebut tidak mengetahui tentang kedudukannya dan perihal keadaannya di dalam masyarakat itu. Sebagai contoh, sekumpulan pelaut akan belayar di dalam satu kapal tetapi mereka tidak mengetahui siapa yang akan menjadi nakhoda, kelasi, tukang masak atau tukang kayu di dalam kapal tersebut. Di dalam satu masyarakat adil, setiap orang pelaut tersebut seharusnya berfikir seperti berikut : “Kalaupun aku hanya akan menjadi kelasi, aku akan bersetuju jika nakhoda mempunyai bilik kabinnya sendiri supaya tidurnya tidak terganggu dan dia tidak membuat sebarang kesilapan yang boleh menyebabkan kapal ini karam.”

Menurut Rawls, perumpamaan ini boleh dipakai di dalam satu masyarakat sebenar. Oleh itu, keadilan adalah satu susunan atau peraturan sosial yang dipersetujui oleh semua orang tanpa mempedulikan di mana kedudukannya di dalam masyarakat itu. Secara mudah, kita boleh mengatakan bahawa keadilan adalah untuk semua dan mesti diterima oleh semua.

Dari sudut pandangan seorang Muslim, teori yang dibawa oleh Rawls itu tadi lebih mudah lagi difahami dengan satu takrifan tentang keadilan yang amat terkenal – iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Untuk memastikan sesuatu itu terletak pada tempatnya yang sebenar, maka orang Islam memerlukan tasawwur (worldview) ataupun pandangan alam yang boleh memandu kita melakukan keadilan. Sebagai contoh, Islam meletakkan nilai tertinggi kepada aqidah tauhid, oleh itu mereka yang murtad telah melakukan satu kezaliman yang terbesar iaitu dengan sengaja memilih kekufuran. Menurut hukum Islam, hukuman yang adil kepada kezaliman yang sedemikian adalah mencabut haknya daripada terus hidup di bumi Allah ini.

Keadilan datangnya dari Allah. Salah satu daripada nama-nama Allah ialah “Yang Maha Adil”. Keadilan itu juga biasanya digandingkan dengan konsep kebenaran – kerana tanpa mengetahui kebenaran kita tidak dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya. Di dalam Surah Al-Maaidah, Allah menyebutkan :
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu selalu menjadi orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah dan menjadi saksi pada keadilan.” Dari ayat ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa kebenaran dan keadilan tidak dapat dipisahkan.

Seorang Muslim meyakini bahawa keadilan sebenarnya berpunca dari Tuhan dan dibimbing oleh wahyu iaitu Al-Quran. Naluri untuk keadilan, sebagaimana yang ditunjukkan oleh anak kecil di dalam perenggan pertama tulisan ini, telah sedia wujud di dalam jiwa setiap manusia. Bagi orang Islam, menerimanya adalah ketaatan, menegakkannya adalah satu kewajipan dan memperjuangkannya adalah jihad. Dalam urutan keutamaan yang ditentukan oleh Islam, keadilan terletak di tempat yang tinggi. Ketinggiannya itu mengatasi perkara-perkara lain seperti kestabilan, kemakmuran ekonomi ataupun perpaduan umat. Hanya apabila keadilan telah ditegakkan dan kezaliman dihapuskan, maka kebaikan-kebaikan yang lain itu akan terlaksana dengan mudah.

Thursday, January 1, 2009

Kisah Malibu Rock

Madzi Hasan

Cerita di bawah saya ambil, terjemah dan sesuaikan daripada sebuah buku yang ditulis oleh Robert H.Schuller.

Cerita ini adalah tentang seketul batu. Ia bukannya cerita batu belah batu bertangkup tetapi ia adalah sebuah cerita benar. Ianya berlaku di sebuah bandar peranginan bernama Malibu yang terletak di California, Amerika Syarikat. Malibu terletak di antara banjaran bukit-bukau dan persisiran pantai yang menghadap ke Lautan Pasifik.

Di atas salah sebuah bukit di pinggir bandar Malibu, tersergam berdiri seketul batu besar yang telah wujud di situ sejak beribu-ribu tahun dahulu. Sejak kawasan tersebut didiami oleh manusia, tiada siapapun mempedulikan batu besar tersebut. Hinggalah pada suatu hari, seorang penduduk di Malibu melihat ke arah batu tersebut lantas terfikir, “Kalaulah batu besar itu jatuh ke bawah, rumahku akan hancur berkecai.” Lalu dia berusaha meyakinkan jiran-jirannya tentang kemungkinan itu dan menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak. Mereka membuat persediaan untuk menyaman pihak berkuasa jika batu itu betul-betul jatuh dan merosakkan harta benda mereka. Mereka berhujah bahawa daripada hasil kajian mereka, batu itu telah menunjukkan tanda-tanda pergerakan yang mencurigakan.

Setelah digertak dengan tindakan saman, pihak berkuasa cepat-cepat memikul tanggungjawab untuk membuang batu tersebut. Dalam sekelip mata sahaja, batu besar yang tidak bernama itu menjadi berita sensasi di seluruh Amerika Syarikat dan mula dikenali dengan nama Malibu Rock. Pihak berkuasa menggunakan dua buah jentolak untuk menolak batu tersebut, tetapi kekuatan kedua-duanya tidak berdaya menggerakkan batu itu walaupun seinci. Kemudian, mereka menggunakan helikopter untuk menarik batu itu dengan tali kabel yang tebal sambil dibantu oleh dua jentolak tadi. Batu itu masih tidak berganjak dari tempatnya.

Akhirnya, mereka menggunakan satu kekuatan yang tiada tandingannya iaitu pancutan air deras. Selama empat hari empat malam batu tersebut disembur dengan beribu-ribu gelen air dengan kederasan tinggi. Setelah empat hari, batu yang telah longgar itu akhirnya berjaya dicabut setelah helikopter dan jentolak digunakan semula. Hasil pekerjaan mereka itu mengejutkan semua orang kerana mereka mendapati rupa-rupanya sebahagian besar batu itu tertanam jauh ke dalam tanah. Oleh itu, kemungkinan untuk ia jatuh dengan sendirinya tidak akan berlaku sekurang-kurangnya untuk sejuta tahun lagi.

Walau bagaimanapun, tugas itu telah pun selesai. Batu itu telah tercabut lalu bergolek jatuh ke tengah-tengah lebuhraya. Satu juta dolar wang pembayar-pembayar cukai telah digunakan untuk menanggung kos operasi tersebut. Kesan ketiadaan batu itu bertukar menjadi satu ironi bagi penduduk-penduduk yang mendesak penghapusannya. Apa yang mereka takuti, iaitu kerosakan harta benda mereka, akhirnya menjadi kenyataan. Rumah-rumah mereka telah rosak kerana apabila hujan turun, lumpur akan mengalir dari bukit tersebut. Selama ini batu itulah yang memperkukuhkan struktur bukit tersebut. Rupa-rupanya mereka telah membuang teman setia mereka sendiri.

Pada masa yang sama, seorang pengukir muda dari Australia mengikuti siaran media tentang batu tersebut dari bilik hotelnya di Los Angeles. Apabila dia mendapat tahu yang batu tersebut akan jatuh, dia bergegas ke Malibu untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Beliau terus mendekati pegawai-pegawai Jabatan Lebuhraya dan berkata, “Saya mahu membeli batu ini.” Mereka mentertawakannya lalu dengan senang hati menjual batu tersebut kepadanya dengan harga seratus dolar. Bukan itu sahaja, pegawai-pegawai tersebut memberi satu syarat kepadanya supaya mengalihkan batu tersebut dari atas lebuhraya itu dalam tempoh 48 jam. Bayangkanlah betapa leganya perasaan pegawai-pegawai kerajaan tersebut.

Syarat itu tidak melemahkan semangat anak muda itu walaupun batu itu dianggarkan seberat 20 tan. Dia kembali ke Los Angeles untuk meyakinkan saudagar-saudagar di sebuah pusat membeli-belah yang batu besar itu akan diukir sehingga menjadi bahan tarikan yang indah di tempat tersebut. Dia berjaya mengumpulkan pelaburan berjumlah 20 ribu dolar dan esoknya batu itu dibawa ke Los Angeles. Selama empat bulan dia bekerja 10 jam sehari untuk memahat dan mengukir batu itu menjadi bentuk seorang pelakon koboi yang terkenal, John Wayne. Menurutnya, batu itu mempunyai ciri-ciri persamaan dengan John Wayne iaitu ‘teguh dan sukar dijatuhkan’.

Di Arizona, seorang jutawan yang juga seorang peminat John Wayne mendengar tentang ukiran dan kemasyhuran batu tersebut. Beliau datang kepada pengukir muda itu dan menawarkan untuk membeli batu tersebut. Harganya, satu juta dolar. Dan khabar angin yang terbaru menyatakan bahawa jutawan itu akan mempamerkan ukiran batu itu di dalam Muzium J. Paul Getty – yang terletak hanya beberapa kilometer dari bukit tempat asal batu tersebut. Jadi, ada orang yang melihat batu itu sebagai ancaman, manakala anak muda itu melihatnya sebagai peluang keemasan.

Ada dua jenis manusia di dalam ini – mereka yang melihat segala-galanya mustahil dan mereka yang melihat segala-galanya tidak mustahil. Golongan yang pertama sentiasa mencari jalan untuk mengelakkan bahaya yang belum terjadi. Mereka mahu segala-galanya terjamin selamat dan bebas dari risiko. Golongan yang kedua pula percaya bahawa tiada jalan lain untuk mencapai kejayaan selain daripada menghadapi sedikit bahaya dan kesusahan. Dengan keyakinan dan ketabahan, mereka boleh menukar batu penghalang menjadi batu loncatan.


Wednesday, December 31, 2008

Oh! I See lagi

Madzi Hasan

Palestin diganyang lagi oleh Yahudi Zionis. Ratusan kanak-kanak yang sedang seronok bermain-main tiba-tiba hilang nyawanya akibat bedilan jet-jet Zionis. Dan sekali lagi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan bertindak pantas untuk melakukan satu perkara yang menjadi kepakaran mereka – iaitu bersidang.

Apabila menyebut OIC, ramai di antara kita sudahpun biasa dengan satu kata-kata sindiran yang sudah menjadi begitu popular iaitu “Oh! I See”. Maknanya, peranan OIC adalah tidak lebih dari membuat kenyataan “Oh! I See”.

Kegagalan OIC memang memalukan. Tetapi, kegagalan itu tidaklah pula mengejutkan. OIC adalah himpunan negara-negara yang lemah, ketinggalan dari segi politik, ekonomi, sosial, teknologi dan sebagainya – jadi apakah sebuah pertubuhan yang berwibawa akan lahir dari kumpulan negara-negara yang tidak berwibawa?

Pada awal abad yang lalu, Al-Amir Syakib Arsalan telah diajukan pertanyaan kepadanya adakah negara-negara Islam akan menjadi kuat jika satu persidangan negara-negara Islam diadakan selepas kejatuhan Empayar Othmaniah. Jawabnya, persidangan itu samalah seperti menghimpunkan angka-angka kosong. 0+0+0+0+0+0 = 0. Apalah gunanya mencampurkan walau sebanyak manapun angka kosong kerana hasilnya tetap kosong.

Walaupun demikian, pemimpin-pemimpin negara-negara Islam beranggapan adanya sebuah pertubuhan seperti OIC adalah lebih baik daripada tiada langsung. Sekurang-kurangnya, pemimpin-pemimpin ini boleh menunjukkan kepada rakyat mereka yang mereka berbuat sesuatu, biarpun setakat ini hasil yang dapat dilihat dari setiap persidangan OIC hanyalah kertas-kertas resolusi. Pemimpin-pemimpin negara Islam hanya pandai mengarang resolusi tetapi tiada keberanian dan kesungguhan untuk melaksanakannya.

Di kalangan negara Islam masih belum muncul satu atau dua negara yang menjadi kuasa ekonomi atau kuasa ketenteraan. Selagi tidak muncul sebuah negara yang boleh menjadi pemimpin kepada negara-negara Islam lain, selagi itulah OIC akan menjadi bahtera tanpa nakhoda.

Sementara menunggu salah sebuah negara Islam menjadi satu negara maju yang kuat, negara-negara Islam sepatutnya cuba membina kekuatan kolektif. Setiap negara mempunyai kekuatan masing-masing tetapi disia-siakan kerana negara-negara Islam tidak pandai untuk mengongsinya untuk kebaikan bersama.

Pengalaman menunjukkan sebarang usaha kolektif sesama negara umat Islam adalah amat sukar disebabkan oleh halangan-halangan politik. Sistem-sistem politik dalam negara-negara Islam adalah cacamarba. Sistem dan amalan demokrasi yang benar-benar bersih dan tulen hampir tidak ada.

Kebanyakan negara-negara Islam masih dipimpin secara autoritarian di mana rakyat tidak diberi kuasa dan kebebasan yang secukupnya untuk mempengaruhi keputusan pemerintah. Akibatnya, kepentingan survival pemerintah menjadi pertimbangan utama dalam proses membuat keputusan. Kepentingan rakyat serta kepentingan ummah menjadi perkara kedua dan ketiga.

Sebagai contoh, negara-negara Islam beraja di Asia Barat masih lagi bergantung kepada Amerika Syarikat untuk mempertahankan keselamatan negara mereka. Sebabnya adalah kerana kerajaan-kerajaan monarki tersebut tidak mahu membina satu angkatan tentera yang besar dan kuat walaupun mereka mempunyai duit petrol yang banyak. Tentera yang kuat akan menjadi ancaman kepada survival politik raja-raja tersebut. Oleh itu, mereka lebih rela membiarkan kuasa asing bertapak di negara mereka walaupun rakyat mereka membenci Amerika dan rakan karibnya, Israel.

Selagi pemimpin-pemimpin jenis ini belum dijatuhkan, selagi itulah kanak-kanak di Palestin tidak akan dapat hidup dan bermain-main seperti kanak-kanak di tempat lain.

Tuesday, December 30, 2008

Ketuanan Melayu - Satu Ilusi

Madzi Hasan
Dalam satu wawancara khas di stesen televisyen Al-Jazeera, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengatakan bahawa istilah Ketuanan Melayu adalah sesuatu yang mengarut. Ini kerana orang Melayu dari dulu hingga sekarang adalah golongan underdog di negara ini. “Penggilap kasut bukanlah Tuan. Orang yang membayar kamu, itulah yang sebenarnya Tuan,” kata Dr Mahathir.

Baru-baru ini pula, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad bin Hj Muhd Taib memberitahu akhbar Sin Chew Daily bahawa Ketuanan Melayu dari segi realitinya adalah tidak wujud. Ia hanyalah pemanis mulut yang tidak bermakna apa-apa.

Jika kenyataan-kenyataan ini datang dari bekas Presiden UMNO dan calon Timbalan Presiden UMNO, maka tidakkah pendukung-pendukung Ketuanan Melayu mula sedar bahawa apa yang mereka laungkan tidak lebih dari sebuah ilusi dan khayalan semata-mata.

Konsep Ketuanan Melayu adalah satu ilusi yang selama ini digunakan untuk mempertahankan kuasa dan kepentingan segelintir kecil golongan elit politik Melayu. Fahaman ini langsung tidak memberi apa-apa inspirasi untuk umat Melayu mengangkat martabat bangsanya. Untung nasib mereka diserahkan kepada golongan penguasa politik Melayu dan mereka merasa selesa hidup bergantung kepada belas ihsan tuan-tuan politik ini. Masyarakat Melayu akhirnya menjadi seperti kambing yang hanya tahu taat dan patuh kepada tuan-tuan politik mereka tanpa banyak soal.

Generasi muda Melayu hari ini mula mempersoalkan, sekiranya konsep Ketuanan Melayu ini sesuatu yang penting dan efektif, tentulah orang Melayu telah menguasai ekonomi negara ini. Selain itu, tentulah budaya dan bahasa Melayu sudah menjadi teras kehidupan masyarakat Malaysia. Dan golongan muda Melayu tentulah tidak dihambat dengan masalah sosial, dadah, pengangguran dan perasaan rendah diri.

Di dalam parlimen telah dibentangkan bahawa pada tahun 2004, pendapatan isi rumah kasar bulanan kaum Bumiputera adalah RM2,711 sebulan, kaum Cina RM4,437, dan kaum India RM3,456. Manakala peratus kadar kemiskinan Bumiputera yang miskin adalah 8.3% dan kaum India cuma 2.9%, sedangkan kaum Cina 0.6%. Pada tahun 2007, 301,000 isi rumah daripada kaum Melayu memperolehi pendapatan di bawah RM1,000.00 sebulan, iaitu kumpulan terbesar yang memperolehi pendapatan paling corot bila dibandingkan dengan kaum-kaum lain. Di manakah keramatnya konsep Ketuanan Melayu ini jika orang Melayu terus-terusan menjadi rakyat kelas ketiga di negaranya sendiri selepas 50 tahun merdeka?

Orang Melayu mesti mengangkat martabat bangsanya lebih tinggi atau sekurang-kurangnya setara dengan kaum-kaum lain. Tetapi untuk mencapai matlamat itu, mereka menghadapi dilema. Adakah mereka perlu terus bernaung di bawah satu parti yang melaungkan ketuanan Melayu tetapi terus gagal walaupun telah diberi peluang selama setengah abad? Ataupun mereka boleh mengenepikan sentimen Ketuanan Melayu dan memberikan kuasa kepada pihak yang memperjuangkan nasib rakyat, terutamanya rakyat miskin.

Pilihanraya Umum pada 8 Mac 2008 menandakan rakyat mula berani memilih parti-parti pelbagai kaum yang mengaku memperjuangkan nasib rakyat terbanyak. Sekaligus ia menunjukkan bermulanya era sistem dua parti di negara ini. Orang Melayu, terutamanya di bandar-bandar, sudah mula mempunyai keyakinan untuk meletakkan nasib mereka di tangan mereka sendiri. Ini kerana mereka yakin bahawa Ketuanan Melayu yang dijanjikan selama ini hanyalah satu impian yang sudah basi dan korup.

Alternatif kepada Ketuanan Melayu ialah Ketuanan Rakyat. Ia bukan bermaksud mengambil ketuanan dari orang Melayu dan menyerahkannya kepada orang Cina dan India. Ketuanan Rakyat bermaksud mengambil ketuanan atau kuasa yang tidak terbatas dari para pemimpin politik dan mengembalikannya kepada rakyat. Ketuanan Rakyat bermaksud kepentingan rakyat terbanyak adalah perkiraan yang paling utama dalam setiap dasar, tindakan dan program pihak pemerintah.

Sekiranya pihak pemerintah melaksanakan konsep Ketuanan Rakyat, orang Melayu jugalah yang akan merasa nikmat dan kesannya. Bukankah 60% daripada keseluruhan rakyat Malaysia adalah orang Melayu? Dan bukankah 70% daripada rakyat miskin di negara ini adalah juga orang Melayu? Sepertimana kata Dr Mahathir, ‘penggilap kasut bukanlah Tuan, orang yang membayar kamu, itulah yang sebenarnya Tuan’. Selama ini orang Melayu menganggap Menteri, Exco dan Wakil Rakyat sebagai tuan. Tetapi hakikatnya, rakyatlah yang sebenarnya tuan kerana rakyatlah yang memilih dan membayar mereka untuk berkhidmat. Itulah Kontrak Sosial yang sebenarnya.